PM Tunisia mahu tubuh kerajaan baru
Penunjuk perasaan berarak mengiringi ambulans yang membawa mayat Belaid selepas beliau ditembak mati di Tunis, kelmarin. Foto: AP
TUNIS - Perdana Menteri Tunisia, Hamadi Jebali, kelmarin mengumumkan beliau akan membubarkan kerajaan yang dipimpin parti Islam pada masa ini dan menubuhkan pentadbiran perpaduan nasional.

Keputusan itu dibuat susulan daripada insiden pemimpin parti pembangkang, Shokri Belaid ditembak mati di hadapan rumahnya hingga mencetuskan protes antikerajaan di ibu negara.

"Saya memutuskan untuk membentuk kerajaan teknokrat (dibarisi ahli yang mahir dalam bidang teknikal dan teknologi),"katanya.

Dalam perkembangan lain, parti pembangkang di Tunisia turut menyambut baik keputusan Jebali itu.

Setiausaha Agung Parti Nida Tunis, Taieb Baccaouche berkata, satu perubahan perlu dilakukan untuk menubuhkan kerajaan yang benar-benar boleh mentadbir negara tersebut selepas bekas Presiden Zine El Abidine Ben Ali digulingkan kira-kira dua tahun lalu.

Bagaimanapun, ia perlu mendapat persetujuan semua bagi mengelakkan keputusan sebelah pihak," jelasnya.

Difahamkan, sebelum insiden pembunuhan itu, rundingan antara kerajaan campuran pimpinan parti Ennahda dan parti sekular berhubung keputusan untuk membubarkan Kabinet telah menemui jalan buntu selepas wakil mereka enggan mengalah dan tetap dengan pendirian masing-masing.  - AP