Monday, February 11, 2013

Mahkamah Mesir arah sekat akses YouTube



KAHERAH - Mahkamah Kaherah mengarahkan kerajaannya menyekat akses kepada laman YouTube bermula hari ini.

Hakim Hassouna Tawfiq berkata, tindakan itu diambil selepas menerima banyak aduan dari penduduk Mesir bahawa laman YouTube menjadi ancaman kepada keamanan sosial selepas tercetusnya rusuhan di seluruh negara Islam hingga membawa kepada ratusan kematian berpunca daripada penyebaran filem anti-Islam tahun lalu.

“Kerajaan masih boleh mengemukakan petisyen terhadap keputusan sekatan ini,” katanya dipetik AP.

Beliau berkata, penduduk Mesir melahirkan kebimbangan sekiranya perkara sama bakal berulang berikutan laman web ini mudah diakses.

“Mahkamah menerima banyak desakan untuk menyekat terus laman web ini kerana penduduk Mesir percaya negara Barat akan berterusan melakukan provokasi dan ancaman sosial terhadap masyarakat Islam,” katanya.

Sementara itu, jurucakap bagi syarikat induk YouTube, Google berkata, sehingga kini pihaknya belum menerima sebarang arahan berkaitan penyekatan ini dari mahkamah atau kerajaan negara itu.

September tahun lalu, kira-kira 50 maut di Kaherah manakala 20 negara melakukan protes terhadap penayangan filem pendek menghina Nabi Muhammad SAW yang dihasilkan oleh seorang warganegara Amerika Syarikat.

No comments:

Post a Comment