Tunjuk perasaan di 27 wilayah di Mesir
Penunjuk perasaan membaling batu ke arah pihak berkuasa selepas polis menyembur air ke arah mereka berhampiran istana presiden di Kaherah, kelmarin. Foto: AP
KAHERAH - Ribuan penunjuk perasaan di 27 wilayah di Mesir bertempur dengan pihak berkuasa dalam protes besar-besaran yang berterusan menggesa Presiden Mohammed Mursi untuk memenuhi matlamat revolusi kebangkitan rakyat di negara itu.

Kementerian Kesihatan melaporkan lebih 120 orang turut cedera dalam insiden keganasan di seluruh negara tersebut.

Dalam satu kenyataan, perdana menteri, Hisham Qandil mengutuk tindakan pihak yang cuba untuk menjejaskan kestabilan di Mesir dengan cara menentang kerajaan menerusi penganjuran protes ganas seumpama itu.

Sejak beberapa bulan lalu, Mesir telah dicemari protes anti-Mursi selepas pihak pembangkang mendakwa beliau menggunakan kuasanya sebagai presiden hanya untuk menjaga kepentingan Ikhwanul Muslimin. - AFP