Hamdi Jebali
Hamdi Jebali
TUNIS - Perdana Menteri Tunisia, Hamdi Jebali, semalam mengancam untuk meletak jawatan jika cadangan beliau untuk menubuhkan kerajaan teknokrat ditolak parti Ennahda atau parti lain.

Jebali berkata, beliau akan mengumumkan barisan Kabinet baru negara itu menjelang minggu depan jika penubuhan kerajaan sementara tersebut dipersetujui semua pihak.

"Saya yakin keputusan ini adalah jalan terbaik meredakan keadaan pada masa ini," jelasnya. 

Rabu lalu, pemimpin itu memaklumkan bahawa beliau mahu membubarkan kerajaan campuran diterajui parti Ennahda selepas protes antikerajaan di ibu negara susulan daripada insiden pembunuhan pemimpin parti pembangkang, Shokri Belaid.

Bagaimanapun, Ennahda telah menolak cadangan Jebali tidak lama selepas beliau memberitahu akan memperoleh sokongan penuh dari parti tersebut pada Jumaat lalu.- Al-Jazeera