Monday, February 4, 2013

Mahu Mursi dibicara



Kaherah: Pembangkang utama Mesir semalam menyokong gesaan supaya Presiden Mohamed Mursi disingkirkan dan menuntut pemimpin kumpulan Islam itu dibicarakan selepas pertempuran maut antara pihak berkuasa dan penunjuk perasaan.

Barisan Penyelamat Negara (NSF) berkata, Mohamed Mursi perlu didakwa atas tuduhan ‘membunuh dan menyeksa’, selain menggesa orang ramai terus mengadakan protes aman.


“NSF memihak sepenuhnya kepada rakyat dan seruan mereka untuk menggulingkan rejim kuku besi serta kawasan Ikhwanul Muslimin,” kata kenyataan dikeluarkan kumpulan itu. NSF gabungan lebih 35 parti pembangkang dan kumpulan yang tidak sehaluan dengan Mohamed Mursi.

Dibentuk untuk menggagalkan perisytiharan perlembagaan baru Mesir pada 22 November tahun lalu, NSF diketuai bekas Ketua Agensi Tenaga Atom Antarabangsa, Mohamed ElBaradei.


Menurut kumpulan itu, Mohamed Mursi perlu dibicarakan selepas ‘siasatan bebas’ dijalankan.


Mereka juga menolak sebarang dialog dengan presiden itu sehingga “pertumpahan darah dihentikan, manakala pihak yang bertanggungjawab dalam kejadian itu dikenakan tindakan.” Bagaimanapun, wujud tanda-tanda berlaku perbezaan pendapat di kalangan anggota gabungan pembangkang itu.

Jurucakap NSF Khaled Dawoud, berkata mereka menggesa supaya kumpulan yang mengamalkan pemerintahan zalim digulingkan, tetapi bukan regim itu sendiri. “Kami membantah sebarang tindakan menganiaya rakyat serta mengabaikan segala tuntutan pembangkang,” katanya. Seorang lagi anggota NSF Hussein Abdel Ghani berkata, kenyataan dikeluarkan itu bertujuan menggulingkan kerajaan Mohamed Mursi. -AFP

No comments:

Post a Comment