Malala
Malala (tengah) melambaikan tangannya sebaik melangkah keluar dari sebuah hopsital di Britain bulan lalu.
OSLO - Gadis berumur 15 tahun dari perkampungan utara Pakistan yang ditembak Taliban kerana memperjuangkan hak pendidikan  kanak-kanak perempuan, Malala Yousafzai dicalonkan sebagai penerima Anugerah Nobel Keamanan 2013.

Menurut pegawai, pencalonan dicadangkan tiga ahli Parlimen Norway yang memuji keberanian Malala menentang kumpulan pelampau yang cuba membunuhnya.

Ahli politik Parti Buruh, Freddy de Ruiter berkata, Malala sangat berani bersuara terutama sekali perkara berkaitan hak pendidikan golongan wanita.

"Gadis ini juga telah mencetuskan kesan mendalam kepada dunia. Beliau sanggup berjuang menerusi media sosial tanpa memikirkan kesan terhadap dirinya," kata Freddy mewakili dua rakannya iaitu Gorm Kjernli dan Magne Rommetveit.

Pegawai Anugerah Nobel Keamanan memberitahu, nama pemenang akan diumumkan awal Oktober depan dan setakat ini, penerima anugerah paling muda di kalangan wanita adalah Tawakkol Karman, 31, pada 2011.  - DailyMail