Monday, February 25, 2013

Pembantu kafeteria orang ke-3 didakwa galak keganasan




25 Februari 2013
KUALA LUMPUR - Pembantu kafeteria, Muhammad Hilmi Hasim yang ditahan bersama bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Yazid Sufaat, hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di sini atas dakwaan bersubahat menggalakkan keganasan.
 
Muhammad Hilmi, 33, yang bergari kelihatan tenang sepanjang prosiding di hadapan Hakim Kamardin Hashim.
 
Dia didakwa melakukan kesalahan itu untuk memajukan suatu ideologi dan perbuatan itu diniatkan untuk mengugut orang awam di Syria.
 
Muhammad Hilmi, yang merupakan pekerja kepada Yazid, 49, didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Taman Bukit Ampang, Ampang antara 8.30 pagi dan 10.30 pagi, pada 1 Ogos hingga 20 Okt 2012.
 
Dia didakwa mengikut Seksyen 130G (a) Kanun Keseksaan (Akta 574) dibaca bersama Seksyen 109 kanun yang sama membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Datuk Mohamad Hanafiah Zakaria memohon kes yang dihadapi Muhammad Hilmi dibicarakan bersama kes Yazid dan seorang lagi rakan mereka Halimah Hussein.
 
Permohonan itu tidak dibantah oleh peguam Amer Hamzah Arshad, yang mewakili Muhammad Hilmi dan Amer Hamzah turut memberitahu mahkamah bahawa pihaknya akan memfailkan permohonan menggugurkan pertuduhan terhadap anak guamnya termasuk Yazid dan Halimah dalam tempoh terdekat.
 
Hakim Kamardin menetapkan 22 April untuk pengurusan kes dan membenarkan kes itu dibicarakan bersama kes yang dihadapi Yazid dan Halimah iaitu pada 20 Mei.
 
Selain Mohamad Hanafiah, pihak pendakwaan turut dikendalikan Tmbalan Pendakwa Raya Ishak Mohd Yusoff dan Mohd Dusuki Mokhtar manakala Amer Hamzah dibantu peguam New Sin Yew.
 
Pada 8 Feb lepas, Yazid didakwa atas pertuduhan menggalakkan keganasan dan turut dituduh adalah rakannya Halimah, 52, atas dakwaan bersubahat.
 
Kedua-dua mereka didakwa bagi tujuan yang sama di tempat dan tarikh yang sama seperti mana pertuduhan terhadap Muhammad Hilmi.
 
Kes Yazid dan Halimah didengar di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 20 Feb lepas dan kedua-dua mereka mengaku tidak bersalah - Bernama

No comments:

Post a Comment