Monday, February 25, 2013

Seorang tahanan Palestin mati mengejut



Seorang wanita Palestin membaling batu ke arah pasukan keselamatan Israel semasa mengadakan tunjuk perasaan di Kampung Saair, timur Tebing Barat, semalam. - REUTERS
BAITULMAQDIS 24 Feb. - Seorang tahanan Palestin di penjara Israel mati mengejut semalam, mencetuskan keganasan di bandar Hebron, Tebing Barat dan mendorong Perdana Menteri Palestin, Salam Fayyad mengeluarkan kenyataan supaya siasatan penuh dijalankan.
Jurucakap Perkhidmatan Penjara Israel, Sivan Weizman berkata, Arafat Jaradat, 30, yang merupakan ayah kepada dua orang anak, mati secara mengejut di pusat tahanan Megiddo, utara Israel.
"Punca kematian mungkin disebabkan serangan jantung, tetapi buat masa ini saya masih tidak memperolehi butiran terperinci," katanya.
Fayyad dalam satu kenyataan menyuarakan rasa sedih dan terkejut berhubung kematian Jaradat.
Fayyad menegaskan tentang perlunya siasatan penuh dijalankan bagi mengetahui punca kematian Jaradat.
Selepas berita kematian itu tersebar, pertempuran tercetus di bandar Hebron antara pemuda Palestin dan pasukan keselamatan Israel, menurut saksi dan sumber keselamatan.
Hamas berkata, tahanan itu maut disebabkan 'keadaan yang tidak berperikemanusiaan di penjara Israel'.
Menurut perkhidmatan perisikan dalaman Israel, Shin Bet, Jaradat ditahan pada Isnin lalu kerana terlibat dengan insiden membaling batu pada November 2012, kejadian yang menyebabkan seorang penduduk Israel cedera.
"Ketika berehat selepas makan tengah hari, Jaradat tiba-tiba diserang sakit, menyebabkan pegawai perubatan dipanggil tetapi mereka gagal menyelamatkannya.
"Dia menghidap sakit belakang dan beberapa kecederaan lama, satu di bahagian kaki kiri akibat terkena peluru getah dan satu lagi di perut akibat terkena gas pemedih mata.
"Dia juga telah diperiksa beberapa kali oleh doktor dan didapati tidak mengalami sebarang masalah kesihatan, tetapi siasatan masih diteruskan," ujar Shin Bet.
Sementara itu, kira-kira 3,000 tahanan Palestin di penjara-penjara Israel melancarkan mogok lapar sehari, hari ini, bagi membantah kematian Jaradat, menurut seorang pegawai ketika pasukan keselamatan rejim Zionis berdepan dengan tunjuk perasaan. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130225/lu_03/Seorang-tahanan-Palestin-mati-mengejut#ixzz2LvKJWpWe
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment