Puluhan militan Mali terbunuh
Pertempuran antara tentera Chad dan pengganas tercetus dalam kawasan kubu kuat militan.
N'DJAMENA - Seramai 65 anggota militan berkaitan Al-Qaeda terbunuh dalam satu pertempuran bersenjata melibatkan pasukan tentera Chad di kawasan pergunungan Adrar des Ifoghas dekat utara Mali, kelmarin.

Pegawai ketenteraan Chad memberitahu, pertempuran dianggap berjaya walaupun menyebabkan sekurang-kurangnya 13 askarnya terbunuh.

"Setakat ini, jumlah kematian pihak musuh mencecah 65 orang dan kita telah memusnahkan lima kenderaan yang digunakan kumpulan pengganas itu," katanya.

Seramai 1,800 askar Chad dihantar ke utara bandar Kidal yang dilapor menjadi kubu kuat kumpulan pemberontak, bagi mengawal keselamatan.

Awal bulan lalu, pasukan tentera Perancis dikerah ke Mali bagi menyekat kemaraan kumpulan militan yang menawan kebanyakan bandar di negara itu sejak April lalu.  -  Reuters