Al-Qaeda mengaku bertanggungjawab
Sekurang-kurangnya 15 kereta dipasang bom meletup dalam insiden serangan berdarah di Baghdad, kelmarin. Foto: CNN
BAGHDAD - Gabungan militan Al-Qaeda, semalam mengaku sebagai dalang di sebalik gelombang serangan di Baghdad menerusi sebuah laman forum jihad.

Insiden pengeboman berdarah menjelang ulang tahun ke-10 pencerobohan Amerika Syarikat di negara tersebut turut meragut sekurang-kurangnya 57 nyawa manakala lebih 220 lagi cedera.

Menurut laporan AFP, difahamkan mereka turut menyifatkan serangan itu sebagai tindak balas segera terhadap keputusan Kementerian Keadilan yang menegaskan tidak ada pihak dapat menghalang pelaksanaan hukuman mati.

Awal pagi kelmarin, lebih 20 letupan bom termasuk dua serangan pengeboman berani mati menyasarkan kawasan sekitar ibu negara dan kejiranan pengikut Syiah.

Susulan daripada itu, polis juga terpaksa menutup beberapa jalan utama dan meningkatkan kawalan.

Tahap keselamatan mula dipersoalkan banyak pihak memandangkan pilihan raya dijadualkan berlangsung pada 20 April depan.

Dalam perkembangan lain, stesen televisyen melaporkan pihak berkuasa keselamatan berjaya menahan 26 militan bersama puluhan bahan letupan dan peluru berpandu yang mungkin akan digunakan dalam serangan susulan di ibu negara.