Sunday, March 17, 2013

HRW dakwa tentera Syria guna bom berangkai



BEIRUT 16 Mac - Kumpulan hak asasi manusia antarabangsa, Human Rights Watch (HRW) mendakwa tentera Syria memperluaskan penggunaan bom berangkai dalam serangan di kawasan-kawasan perumahan orang awam.
HRW hari ini mendakwa, sekurang-kurangnya 156 bom berangkai digunakan di 119 lokasi di seluruh Syria sejak enam bulan lalu.
''Syria memperluaskan penggunaan bom berangkai, satu senjata yang diharamkan di mana orang awam yang paling ramai menjadi mangsa.
''Dua serangan dalam tempoh dua minggu lalu menyebabkan kematian 11 orang awam termasuk dua wanita dan lima kanak-kanak,'' kata Pengarah Divisyen Bersenjata HRW, Steve Goose,.
Beliau berkata, dakwaan itu berasaskan laporan dan siasatan lapangan serta analisis daripada lebih 450 video amatur.
Laporan itu dikeluarkan selepas Syria menyambut ulang tahun kedua pemberontakan terhadap kepemimpinan Presiden, Bashar al-Assad.
Pemberontakan itu bermula dengan tunjuk perasaan secara aman, namun tindakan keras kerajaan untuk mengawal demonstrasi itu telah bertukar menjadi pemberontakan dan konflik bersenjata.
Berdasarkan kiraan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), lebih 70,000 orang maut sejak konflik itu bermula dan empat juta rakyat Syria kehilangan tempat tinggal. - AP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130317/lu_05/HRW-dakwa-tentera-Syria-guna-bom-berangkai#ixzz2Nkogx3Qz
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment