Sunday, March 17, 2013

Saki baki pengganas tak sampai 50 orang


Lahad Datu: Saki baki pengganas yang dipercayai tidak sampai 50 orang, kini berpecah kepada kumpulan kecil dan bergerak secara gerila di kawasan Op Daulat, terutama di Kampung Tanjung Batu.

Anggaran itu diberi Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berdasarkan risikan dan petunjuk ditemui pasukan keselamatan yang melakukan operasi pembersihan dan penggeledahan.


Menurutnya, dijangka operasi pembersihan di kawasan itu berakhir selewat-lewatnya hari ini.

“Pengganas kini berpecah kepada kumpulan kecil tetapi dikesan masih berada dalam kawasan Op Daulat. Kami menjejak mereka dengan berhati-hati,” katanya pada sidang media bersama Panglima Divisyen Pertama Infantri Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Mejar Jeneral Datuk Mohd Zaki Mokhtar di Felda Residence Sahabat, di sini, petang semalam.


Dianggarkan 200 pengikut Abgimudin Kiram yang mendakwa dirinya Raja Muda Sulu, berada di Kampung Tanduo sebelum serangan ofensif dilakukan pasukan keselamatan selepas usaha rundingan sejak mereka mendarat di kampung berkenaan pada 12 Februari lalu, menemui jalan buntu.


Dalam Op Daulat dilancarkan 5 Mac lalu, pasukan keselamatan berjaya menembak mati 61 pengganas. Turut terbunuh pemimpin tenteranya, Jeneral Musa dalam pertempuran sengit di Kampung Tanjung Batu pada 7 Mac lalu.

Bagaimanapun, beberapa hari lalu, 35 pengganas berjaya meloloskan diri dengan dua bot sebelum ditahan pihak berkuasa Filipina.


Hamza berkata, berikutan Op Daulat masih berjalan terutama di Kampung Tanjung Batu, penduduk dan media dilarang memasuki kawasan itu.

“Walaupun Kampung Tanduo dan Sungai Nyamuk dibersihkan, penduduk masih belum dibenarkan pulang ke rumah masing-masing,” katanya.

No comments:

Post a Comment