Wednesday, April 24, 2013

Flotila Jepun belayar



LAUT CHINA TIMUR 23 April - Flotila yang membawa lebih 80 penduduk Jepun belayar ke kawasan perairan yang menjadi pertikaian antara Jepun dan China di Laut China Timur, hari ini, sekali gus memarakkan lagi ketegangan antara Tokyo dan Beijing.
Menurut pasukan kawalan pantai Jepun (JCG), flotila tersebut diiringi oleh sekurang-kurangnya 10 buah bot kawalan pantai Jepun.
Dalam masa yang sama, JCG mendakwa tiga buah bot pengawasan kerajaan China belayar berdekatan pulau-pulau terbabit yang menjadi pertikaian.
Kumpulan aktivis yang menggelar diri mereka sebagai "Ganbare Nippon" itu berkata, sebanyak 10 buah bot belayar di sekitar kepulauan berbatu di Laut China Timur untuk melihat kawasan sesuai bagi aktiviti memancing, namun tidak berhasrat untuk berlabuh di situ.
"Ini semua dilakukan bagi menuntut pemilikan kami ke atas pulau-pulau di sini, kami ke sini untuk melakukan tinjauan tentang kawasan memancing bagi membuktikan nelayan Jepun boleh berada di sini.
"Disebabkan provokasi daripada China, kami mengambil keputusan untuk tidak mendarat di atas pulau tersebut sebelum pilihan raya dewan tinggi (dijangka Julai ini), bagi mengelakkan ketegangan diplomatik antara kedua-dua negara," kata ketua kumpulan itu, Satoru Mizushima.
Tahun lalu, kumpulan yang sama mengunjungi satu daripada kepulauan yang menjadi pertikaian tersebut sehingga mengundang protes anti-Jepun di China.
Sementara itu AFP melaporkan, Abe hari ini berikrar, Jepun akan 'mengusir dengan kekerasan' terhadap sebarang usaha mendarat di kepulauan tersebut oleh pihak asing.
Tindakan itu dilakukan selepas lapan bot pengawasan China didakwa belayar berdekatan perairan yang menjadi pertikaian.
"Kami akan mengambil tindakan tegas terhadap sebarang cubaan memasuki perairan kami dan mendarat di kawasan tersebut," katanya kepada Parlimen. - REUTERS/ AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130424/lu_05/Flotila-Jepun-belayar#ixzz2RML2B2bw
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment