Monday, May 27, 2013

Gerila Maoist bunuh 17 orang


ANGGOTA pasukan keselamatan India membawa mayat mangsa serang hendap di Bastar, dalam negeri Chhattisgarh semalam.


NEW DELHI - Sejumlah 200 gerila Maoist meletupkan periuk api dan menembak satu konvoi kenderaan yang membawa beberapa pemimpin tempatan dan penyokong Parti Kongres di timur India, kata polis.
Pihak berkuasa memberitahu, serangan ke atas konvoi parti pemerintah tersebut menyebabkan 17 orang terbunuh manakala 24 yang lain cedera.
Pegawai kanan polis, M. Gupta berkata, serangan berlaku kelmarin di kawasan Sukma, sekitar 345 kilometer ke selatan ibu negeri Chhattisgarh, Raipur.
Konvoi itu diserang di kawasan hutan ketika pemimpin-pemimpin Parti Kongres itu dalam perjalanan pulang ke Raipur selepas menghadiri satu perhimpunan parti.
Seorang lagi pegawai polis, R. K. Vij memberitahu, dua pemimpin parti negeri dan lima anggota polis antara yang terbunuh dalam insiden tersebut.
Menurutnya, mangsa-mangsa yang lain merupakan penyokong Parti Kongres.
"Kami sedih dan terkejut," kata Presiden Parti Kongres, Sonia Gandhi yang mengecam serangan tersebut.
Mengulas mengenainya, Perdana Menteri India, Manmohan Singh berkata, pemerintah akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang bertanggungjawab.
Polis mengenal pasti seorang pemimpin parti yang maut itu sebagai Mahendra Karma.
Mangsa merupakan ketua Parti Kongres di negeri Chhattisgarh yang menubuhkan militia tempatan, Salwa Judum bagi memerangi gerila Maoist.
Kumpulan gerila tersebut yang juga dikenali sebagai Naxalite telah memerangi pemerintah selama lebih empat dekad kerana menuntut tanah dan pekerjaan untuk petani dan golongan miskin.
Nama itu diambil sempena kampung Naxalbari dalam wilayah Bengal Barat di mana gerakan menentang pemerintah India bermula pada 1967.
Gerila-gerila berkenaan mendapat inspirasi daripada pemimpin revolusi komunis China, Mao Zedong.
Manmohan menyifatkan kumpulan gerila itu sebagai ancaman terbesar ke atas keselamatan dalam negara.
Beribu-ribu gerila Maoist kini berada dalam 20 daripada 28 buah negeri di India.
Pada 2010, gerila Maoist membunuh 20 anggota tentera dalam satu serang hendap di hutan tebal di daerah Narayanpur, dalam negeri Chhattisgarh. - AP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0527&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz2URaqH09V 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment