India, China keluarkan tentera dari sempadan di Himalaya
Tentera China mula meninggalkan kawasan Himalaya yang menjadi pertikaian antara kedua-dua negara itu.
NEW DELHI - Kumpulan tentera India dan China mula meninggalkan kawasan Himalaya iaitu kawasan yang menjadi pertikaian antara kedua-dua negara tersebut hingga  mencetuskan ketegangan sejak bulan lalu.

Seorang pegawai kanan tentera India berkata, keputusan itu dicapai selepas komander sempada kedua-dua negara mencapai resolusi damai dalam mesyuarat tergempar malam kelmarin.

“Kedua-dua pihak mencapai persetujuan selepas mesyuarat antara komander sempadan mencapai kesepakatan. Kami akan memanggil semula tentera yang ditempatkan di sempadan itu dan China juga akan  melakukan perkara sama,“ katanya dalam laporan AP.

Menurutnya, proses pengeluaran tentera tersebut berkuat kuasa serta merta.

Mesyuarat itu dilakukan selepas Menteri Luar India, Salman Khurshid berhasrat membuat lawatan ke Beijing untuk menyelesaikan isu pertikaian dan mencapai resolusi tentang pemilikan kawasan Himalaya yang menjadi rebutan dengan China .