Penoreh OKU rayu bantuan
Abdul Malek bersama isteri Siti Nor dan dua anak mereka.
Penoreh OKU rayu bantuan
MOHD SHARKAR
LANCHANG – Sebuah keluarga miskin di Kampung Kelubi di sini yang bergantung hidup dengan menoreh getah terpaksa berjimat cermat dengan harga semasa getah sekitar RM2.50 sekilogram.

Abdul Malek Abdul Kadir 42, bapa kepada empat cahaya mata yang juga orang kurang upaya (OKU) sebelum ini bergantung hidup dengan menoreh 50 batang pokok getah di sekeliling rumahnya untuk menyara hidup.

Abdul Malek yang cacat sebelah tangannya sebelum ini mampu meraih RM60 seminggu dengan menoreh getah ditambah bantuan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) RM300 sebulan.

Katanya, bagaimanapun dalam keadaan sekarang, pendapatannya semakin mengecil dengan kos sara hidup semakin tinggi tambahan pula menyara dua anak yang bersekolah.

“Saya tidak menyalahkan sesiapa dengan nasib dialami tetapi menaruh harapan jika ada peluang untuk memohon bantuan daripada kerajaan.

“Kalau dapat tambahan bantuan saya syukur sangat sebab keperluan hidup sekarang yang sangat mendesak,” katanya sewaktu ditemui di rumahnya di sini.

Abdul Malek bersama isteri Siti Nor Mohamed 35, antara enam keluarga yang masih kekal di Kampung Kelubi sebuah perkampungan terpencil di seberang Sungai Semantan dekat batu 4 jalan Karak Mentakab.

Abdul Malek berkata, 20 tahun dahulu ramai penduduk kampung tersebut tetapi akibat tiada jambatan perhubungan dan kemudahan asas yang baik maka ramai berpindah.

Menurutnya, dia merayu biasiswa untuk anaknya selain bantuan daripada mana-mana pihak memandangkan dia tidak mampu melakukan kerja berat.

“Pada 1994, saya terlibat kemalangan jalan raya, saya masuk ICU tiga bulan di HKL dan mendapat kecacatan kekal pada tangan,” katanya.

Menurutnya,  dia juga merayu kerajaan menyediakan kemudahan jambatan baru menggantikan jambatan gantung sedia ada yang uzur.

Sementara itu, Adun Lanchang, Datuk Mohd Sharkar Shamsudin ketika dihubungi berkata, masalah utama di kampung tersebut adalah ketiadaan jambatan yang lebih baik.

Menurutnya, masalah tersebut telah lama diketahui tetapi adalah sesuatu yang sukar untuk membina jambatan baru di situ memandangkan tidak ramai penduduk di situ.

Bagaimanapun katanya, selepas mengambil kira beberapa faktor, beliau mencadangkan pembinaan baru jambatan di kampung tersebut untuk kemudahan enam keluarga selain memudahkan pengangkutan keluar hasil pertanian.

“Kami merancang untuk membina dua jambatan baru di Kampung Kelubi dan Kampung Kuala Kaung selepas ini dan apabila siap nanti kampung itu akan mendapat limpahan pembangunan sama dengan tempat lain,” katanya.

Mohd Sharkar berkata, masalah kemiskinan keluarga tersebut akan diselesaikan dan menggesa agensi dan jabatan kerajaan terlibat menyiasat latar belakang keluarga tersebut sebelum bantuan disalurkan.