Sunday, May 19, 2013

Tuntut Khalid utamakan keselamatan rakyat, kurang kadar jenayah


Ketua Polis Negara baru, Tan Sri Khalid Abu Bakar diminta berikrar menjadikan keselamatan rakyat sebagai keutamaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mengembalikan persekitaran yang baik.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, ikrar itu pasti akan diuji supaya ia tidak hanya menjadi janji di mulut semata-mata tetapi mesti dibuktikan dengan kejayaan menurunkan kadar jenayah di negara ini.

Katanya, Khalid juga berdepan cabaran untuk membuang persepsi negatif masyarakat bahawa beliau mempolitikkan pasukan polis demi Barisan Nasional (BN) sebaliknya memberi tumpuan membanteras jenayah, bukannya terhadap pemimpin Pakatan Rakyat.

“Keselamatan awam adalah isu pilihan raya umum yang menyaksikan rakyat meluahkan kebimbangan mereka berikutan peningkatan kes ragut, rompakan dan kes tembak menembak walaupun mendakwa indeks jenayah menurun 7.6% pada 2012, dengan 153,811 kes direkodkan berbanding 166.295 kes pada 2011 iaitu penurunan sebanyak 12,484 kes,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata, dengan begitu banyaknya mangsa jenayah, tidak ada sesiapa yang mempercayai dakwaan pihak polis atau bekas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein bahawa kadar jenayah menurun 27% antara 2009 dan 2012, berbanding peningkatan 33% antara 2004 dan 2008.

Menurutnya, Khalid boleh menjadi Ketua Polis Negara (KPN) yang lebih teruk daripada KPN sebelumnya, kecuali jika beliau boleh menunjukkan kejayaannya membanteras penjenayah, bukannya mengurus musuh politik BN.

“Saya mempunyai pengalaman buruk dengan Khalid, ketika beliau menjadi Ketua Polis Selangor apabila secara terbuka menyerang saya kononnya saya enggan bekerjasama dengan pihak polis sedangkan saya sudah memberi kenyataan kepada polis sebelum itu.

“Bagaimanapun beliau kemudiannya mengakui kesalahannya, tetapi tidak meminta maaf atau menarik balik serangannya terhadap saya,” ujarnya.

Beliau berharap Khalid akan bertindak secara lebih merendah diri apabila berinteraksi dan mendengar keluhan masyarakat umum bahawa semua orang pernah melakukan kesilapan namun yang penting ialah bagaimana beliau mengurus kesilapan yang dilakukan itu.

Katanya, Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan DAP bersedia untuk bekerjasama dengan pihak polis untuk membanteras jenayah kerana ini adalah isu yang terlalu penting untuk dipolitikkan.

Selain itu, katanya, DAP juga menyarankan tiga pendekatan dilaksanakan iaitu menambah bilangan anggota peronda di jalan raya sebanyak 100%, menggalak pempolisan komuniti melalui rondaan sukarela di dalam kejiranan oleh penduduk setempat seperti Pasukan Peronda Sukarela di Pulau Pinang, dan komitmen memasang lampu jalan serta kamera litar tertutup (CCTV), terutamanya di kawasan panas bagi menghalang dan mengenal pasti jenayah.

“Marilah kita menjadikan jalan raya, tempat kerja, kedai, pusat rekreasi, sekolah, dan perumahan di Malaysia selamat untuk semua, terutamanya wanita dan kanak-kanak,” katanya

No comments:

Post a Comment