Tuesday, June 18, 2013

Bantah kenaikan harga minyak


Penduduk berdemonstrasi di hadapan bangunan Parlimen bagi menentang rancangan kerajaan untuk menaikkan harga minyak di Jakarta, semalam. - AGENSI
JAKARTA 17 Jun - Beribu-ribu rakyat Indonesia mengadakan demonstrasi di seluruh negara hari ini, bagi membantah rancangan kerajaan untuk menaikkan harga minyak.
Polis terpaksa melepaskan gas pemedih mata ketika beratus-ratus penunjuk perasaan cuba menyerbu bangunan kerajaan tempatan di Jambi.
Demonstrasi bantahan tersebut diadakan di ibu negara dan beberapa bandar lain ketika ahli-ahli Parlimen Indonesia bersidang bagi meluluskan perubahan bajet yang akan membolehkan kerajaan mengumumkan peningkatan harga minyak pertama sejak 2008.
Di Jakarta, kira-kira 3,000 penunjuk perasaan berkumpul di luar bangunan Parlimen ketika hujan, untuk membantah kenaikan harga minyak.
Mereka membakar tayar dan mengibarkan kain rentang yang tertera ''Tolak kenaikan harga minyak' dan 'Gantung SBY' (Presiden Susilo Bambang Yudhoyono).
Polis berkata, kira-kira 19,000 anggota polis dan askar dikerahkan di seluruh Jakarta bagi mengawal keadaan.
Jurucakap polis wilayah Jambi, Almansyah berkata, polis terpaksa mengambil tindakan tersebut apabila beratus-ratus penunjuk perasaan cuba merempuh pintu masuk ke bangunan kerajaan tempatan.
''Situasi menjadi sangat huru-hara dan polis terpaksa melepaskan gas pemedih mata untuk menyuraikan mereka.
''Keadaan terkawal dan tiada siapa berjaya memasuki bangunan tersebut,'' katanya.
Walaupun hanya sejumlah kecil rakyat Indonesia memiliki kereta, rancangan peningkatan harga petrol sehingga 44 peratus dijangka meningkatkan kos keperluan harian.
Penggubalan bajet negara itu yang akan turut menyediakan bantuan kewangan kepada isi rumah miskin, membolehkan Susilo mengumumkan peningkatan harga minyak tersebut.
Persidangan Parlimen bagi membincangkan bajet itu akan berlarutan selama beberapa jam, namun jika diluluskan, Susilo dijangka mengumumkan peningkatan harga minyak malam ini. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130618/lu_01/Bantah-kenaikan-harga-minyak#ixzz2WZTZ8i4J
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment