Monday, June 3, 2013

Bendung jenayah, jangan hina penunggang motosikal


Harakahdaily,03 Jun 2013
KUALA LUMPUR: Cadangan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar kepada Kerajaan Persekutuan supaya mewujudkan zon tanpa motosikal di bandar-bandar besar dalam usaha untuk memerangi jenayah adalah satu penghinaan kepada rakyat Malaysia khususnya golongan sederhana dan tidak mampu.

Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) melihat kegagalan pihak polis membendung jenayah cuba diselimutkan dengan cadangan yang mengguris perasaan rakyat seolah-olah menunggang motosikal itu penyumbang jenayah.

“Sepatutnya ketua polis yang baru ini melahirkan cadangan bukan sekadar drastik, tetapi perlu realistik,” ujar Penyelaras Segmentasi Anak Muda dan Permotoran SAMM, Yaser Sheikh Abdul Rahman.

Katanya, SAMM sebagai penggerak anak muda yang rata-ratanya terdiri daripada penunggang motosikal menolak cadangan 'bongkak' Ketua Polis Negara dan menyifatkan ia sebagai cadangan 'bebal' yang prejudis terhadap penunggang motosikal.

Beliau berkata, sedarkah wahai Khalid bahawa rakyat Malaysia memilih untuk menunggang motosikal kerana tidak mampu di atas kekangan ekonomi dan kos kehidupan yang jauh meningkat berbanding jumlah pendapatan.

Ini, katanya kerana kesempitan hidup, motosikal menjadi pilihan walaupun statistik menunjukkan risiko kemalangan yang tinggi.

“Tidakkah pihak polis membuat kajian terlebih dahulu apakah cadangan ini memberi kesan terhadap penambahan jurang antara golongan elitis dan golongan sederhana miskin?” tanya beliau.

Beliau menambah, banyak lagi cadangan yang harus diketengah bagi meningkatkan mutu perkhidmatan anggota polis.

Katanya, antara cadangan yang pernah dikemuka SAMM sendiri ialah, pemansuhan sektor polis istimewa atau 'special branch' yang dikenalpasti tidak menjaga keselamatan awam tetapi hanya memastikan pemerintah terus kekal memerintah.

Menurutnya, polis khas berpakaian preman ini harus diletakkan dalam sektor jenayah yang kritikal dan dimanfaatkan sepenuhnya di atas setiap ringgit cukai rakyat yang dibayar kepada mereka.

Akhir sekali, tegasnya sikap Ketua Polis Negara yang melabel penunggang motosikal sebagai perompak dan penjenayah adalah keterlaluan.

“Khalid perlu sedar bahawa rompakan besar pemimpin rakus pemerintah negara inilah yang menyebabkan lebih ramai rakyat menunggang motosikal,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment