Monday, June 3, 2013

Dasar perancangan keluarga

Dasar perancangan keluargaDasar perancangan keluarga
DASAR dua anak dalam sebuah keluarga diperkenalkan untuk mengehadkan bilangan penduduk dalam sesebuah negara. Beberapa negara seperti China dan Singapura menggunakan dasar itu untuk mengawal pertumbuhan penduduk sejak lebih tiga dekad lalu.

Dasar berbentuk penganiayaan kepada golongan wanita tersebut bakal dilaksanakan di Myanmar, namun ia dikecam negara antarabangsa kerana peraturan itu hanya dikenakan terhadap penduduk Islam Rohingya yang selama ini menjadi mangsa diskriminasi kaum dan penindasan kerajaan secara berterusan.


China

Dasar satu anak dalam sebuah keluarga di China dilaksanakan pada 1979 dan ia kekal digunakan hingga kini walaupun keadaan politik dan sosial telah berubah sejak lebih tiga dekad lalu.

Ia dicadangkan setahun sebelum itu selepas kerajaan percaya  pertumbuhan penduduk yang pesat akan memberi cabaran lebih besar kepada pembangunan di negara tersebut.

Difahamkan, perkhidmatan perancang keluarga yang bertujuan untuk menjaga kesihatan ibu dan anak sudah mula diperkenalkan sejak 1953.
Langkah yang diambil kerajaan itu telah menyebabkan kadar kematian menurun dan populasi penduduk meningkat secara mendadak kepada 2.8 peratus atau pertambahan seramai 250 juta orang penduduk menjelang 1970.

Selepas satu abad berlaku pemberontakan, peperangan, wabak, dan kejatuhan empayar berkuasa hanya menyaksikan pertumbuhan populasi di China hanya mencecah kurang daripada 0.3 peratus setahun.

Pertumbuhan pesat semasa era 1970-an itu menyebabkan tekanan yang besar kepada kerajaan untuk memenuhi keperluan rakyat.

Rancangan China keempat bagi tempoh lima tahun yang diumumkan pada 1970 turut pertama kali mengandungi sasaran pertumbuhan penduduk.

Perkhidmatan perancang keluarga dan pengguguran juga telah diperluaskan ke kawasan pedalaman.

Dalam tempoh lima tahun, kadar pertumbuhan populasi penduduk menurun sekitar 1.8 peratus dan kerajaan menetapkan sasaran 1.0 peratus pada 1980.

Menjelang 1982, jumlah penduduk di China sudah mencecah lebih satu bilion dan angka itu menyebabkan kerajaan mula menetapkan matlamat untuK memastikan populasi penduduk hanya seramai 1.2 bilion pada 2000.

Di beberapa bandar besar dan maju seperti Shanghai , kebanyakan pasangan  memilih untuk mempunyai seorang anak atas faktor kesibukan bekerja selain peruntukan rumah yang hanya berkeluasan 3.6 meter persegi untuk setiap individu pada 1977.

Dalam kebanyakan keluarga, sekurang-kurangnya seorang daripada mereka ialah penjawat awam dan perkara tersebut menjadikan individu itu terpaksa akur dengan perintah kerajaan.

Walaupun dasar itu dikuatkuasakan secara menyeluruh di kawasan bandar, namun ia dilaksanakan secara berbeza mengikut kawasan.

Di kebanyakan kawasan pedalaman, keluarga dibenarkan untuk mempunyai anak kedua jika anak pertama mereka ialah perempuan atau mengalami kecacatan fizikal, mental atau terencat akal dan jarak kelahiran pula biasanya tiga atau empat tahun.

Keluarga yang melanggar dasar itu akan dikenakan denda dan golongan miskin menganggap ia seperti satu bentuk penindasan kepada mereka.

Setiap kampung ditempatkan pegawai perancang keluarga yang akan merekodkan kitaran haid dan keputusan ujian kehamilan kerana jika mana-mana wanita didapati hamil tanpa kebenaran serta tidak berkemampuan untuk membayar denda 20,000 yuan (RM10,100) akan dipaksa untuk menggugurkan kandungan tersebut.


Singapura

Kawalan populasi di negara itu meliputi dua fasa iaitu untuk melambatkan kelahiran selepas Perang Dunia Kedua dan bermula 1980-an kerajaan menggalakkan pasangan berkahwin untuk mempunyai lebih ramai anak berikutan angka kelahiran menurun di bawah tahap penggantian.

Pada 1960-an dan 1970-an, dasar antinatalist (mengehadkan pertumbuhan penduduk) telah berkembang dan Lembaga Populasi dan Perancang Keluarga (FPPB) turut ditubuhkan.

Menjelang akhir 1960-an, Singapura masih sebuah negara membangun dan belum melalui proses peralihan demografi.

Susulan daripada itu, bekas Perdana Menteri, Lee Kuan Yew melancarkan kempen perancang keluarga, Stop at Two selepas beliau khuatir jika pertumbuhan penduduk membebankan pembangunan ekonomi.

Pengguguran dan pemandulan adalah sah di sisi undang-undang pada 1970.

Golongan wanita juga digesa untuk menjalani proses dimandulkan selepas kelahiran anak kedua.

Wanita yang tidak mempunyai tahap pendidikan tinggi, berpendapatan rendah turut ditawarkan cuti sakit bergaji selama tujuh hari dan insentif wang tunai S$10,000 (RM24,500) jika mereka dengan rela mahu menjalani prosedur tersebut.   

Selain itu, kerajaan juga mengenakan hukuman kepada pasangan yang mempunyai lebih dua anak antara 1969 dan 1972 serta meningkatkan kos sara setiap anak.

Selepas beberapa tahun, Singapura mula melalui proses peralihan demografi selepas kadar kelahiran jatuh secara mendadak.

Kerajaan akhirnya mengubah pendirian mereka menjadi pronatalist dan mengumumkan secara rasmi sebuah keluarga boleh memiliki tiga anak atau lebih (jika berkemampuan) pada 1987.

Usaha untuk memiliki populasi berkualiti diteruskan dengan menggalakkan keluarga berpendapatan rendah untuk mempunyai anak.

Pada 30 Jun 1986, kerajaan telah memansuhkan FPPB dan bekas Perdana Menteri, Goh Chok Tong telah melancarkan slogan baru: Have Three or More (if you can afford it) selepas kadar kesuburan di negara itu menurun kepada 1.44.

Kerajaan juga menggalakkan golongan lelaki untuk memilih wanita dalam kalangan berpendidikan tinggi sebagai isteri di bawah Unit Pembangunan Sosial (SDU) yang ditubuhkan pada 1980-an.

Pada 2009, SDU ditukarkan kepada Rangkaian Pembangunan Sosial untuk menggalakkan pasangan di Singapura berkahwin dalam usaha bagi mengembalikan kadar kelahiran di negara itu.

Awal tahun lalu, kerajaan Singapura menjangkakan populasi di negara itu meningkat kepada 30 peratus antara 6.5 juta dan 6.9 juta menjelang 2030 dengan 45 peratus warga asing daripada jumlah itu.

Menurut kerajaan, kemasukan warga asing diperlukan untuk bantu mengimbangi kadar kelahiran dan penuaan penduduk di negara itu selain mengekalkan kadar pertumbuhan ekonomi.

Tahap kesuburan 1.2 yang mewakili jumlah anak dilahirkan seorang wanita juga kekal berada di bawah kadar penggantian sejak lebih tiga dekad lalu.

Perkara yang paling membimbangkan pada masa ini ialah jumlah penduduk Singapura dijangka berkurangan dan kerajaan mungkin terpaksa bergantung dengan menggalakkan kemasukan warga asing.

No comments:

Post a Comment