Monday, June 17, 2013

Kanser sudah tahap empat

Kanser sudah tahap empatMuhammad Hishamuddin (kanan) menunjukkan kesan rawatan yang terdapat di badan Radiatul.
KARAK – Jika kanak-kanak seusianya lincah bermain, namun berbeza bagi Radiatul Qaisara Muhammad Hishamuddin, 6, kerana hidupnya kini banyak dihabiskan di hospital menjalani rawatan.

Radiatul yang merupakan anak sulung pasangan suami isteri Muhammad Hishamuddin Hassan, 43, dan Rohani Rashid, 39, disahkan menghidap 'Acute Lymphoblastic Leukemia' iaitu penyakit kanser darah sejak 2011.

Muhammad Hishamuddin berkata, setiap bulan, Radiatul perlu menjalani rawatan kemoterapi selama tiga minggu di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Menurutnya, setiap kali menjalani rawatan, Radiatul yang riang akan bertukar menjadi lemah dan kurang ceria.

“Doktor menjelaskan, Radiatul perlu menjalani rawatan dalam tempoh dua tahun setengah lagi, namun keadaannya ketika ini ada kalanya kurang stabil.

“Setiap kali rawatan, sekurang-kurangnya RM160 diperlukan dan kami menggunakan keseluruhan wang Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 serta wang zakat RM400 yang diterima untuk tujuan perubatannya,” katanya.

Muhammad Hishamuddin berkata, walaupun terpaksa berulang alik dari Karak ke Kuala Lumpur menaiki bas, namun demi kesihatan anak kesayangan mereka sanggup berkorban.

Katanya, dia kini hilang punca pendapatan sebagai penoreh getah kerana kebanyakan masa dihabiskan menemani anaknya itu menjalani rawatan di hospital bersama isteri.

“Kesihatan isteri juga tidak mengizinkan akibat kesan pembedahan di bahagian kepala beberapa tahun lalu menyebabkan saya terpaksa membantu menjaga Radiatul.

“Radiatul pula disahkan doktor sudah berada di tahap empat, namun kami sangat berharap dia dapat pulih seperti biasa,” katanya.

Muhammad Hishamuddin berkata, walaupun sebelum ini kisah Radiatul pernah disiarkan Sinar Harian, dia sekeluarga masih berharap ada individu atau pihak yang prihatin sudi menyalurkan sumbangan bagi meringankan bebannya.

Katanya, walaupun menerima sumbangan wang zakat dan JKM, namun ia masih tidak mencukupi.

No comments:

Post a Comment