Monday, June 17, 2013

Kerajaan negeri siasat punca kejadian

Kerajaan negeri siasat punca kejadianGuan Eng (dua, kanan) melawat tapak kejadian rod penebat kilat tercabut dan terjatuh di Jalan Macalister, semalam.
KERAJAAN negeri akan memulakan siasatan untuk mengetahui punca rod penebat kilat di Menara Umno tercabut dan terjatuh ketika kejadian angin kencang petang Khamis lalu.

Ketua Menteri, Lim Guan Eng berkata, pihaknya berasa sedih dan kesal dengan kejadian itu yang meragut seorang lelaki serta sembilan lagi cedera.

“Kejadian itu amat dikesali, dengan kematian seorang lelaki dan sembilan yang cedera, saya juga dimaklumkan seorang lagi mangsa dikhuatiri terbunuh dalam kejadian itu.

“Jalan yang berlaku kejadian itu kini ditutup untuk kegunaan orang awam berikutan kerja-kerja pembersihan dan mengesan mangsa masih dijalankan. Siasatan keseluruhan serta proses mendapatkan butir-butir kejadian akan dijalankan sejurus semua kerja-kerja selesai,” katanya kepada media selepas merasmikan sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia Peringkat Pulau Pinang, semalam.

Menurutnya, kerajaan negeri akan memulihkan bekalan air, tenaga elektrik dan telekomunikasi terlebih dahulu sebelum memulakan siasatan sepenuhnya terhadap kejadian itu.

Terdahulu, seorang maut manakala sembilan lagi cedera dalam kejadian angin kencang yang melanda 21 kawasan di negeri ini.

Warga India, Jahir Sulaiman, 46, maut apabila lori yang dipandu rakan sekerjanya dihempap rod penebat kilat dan mengakibatkan kepalanya cedera parah manakala pemandu lori itu cedera ringan. Jahir meninggal dunia sebaik di bawa ke HPP untuk menerima rawatan.

Kelmarin, digemparkan apabila pekerja pembersihan menjumpai serpihan kereta yang dipercayai jenis Honda City berwarna gelap yang terbenam di bawah konkrit yang terhempas ke jalan raya yang membentuk kawah kesan daripada terjatuhnya penebat kilat di bangunan Menara Umno.

Polis mengesahkan nombor casis pada serpihan kereta dijumpai sama dengan laporan dibuat seorang wanita yang dikenali sebagai Lee Chai Song, mendakwa suaminya, Lim Chin Aik, tidak pulang selepas keluar mengambil anak mereka pulang dari sekolah.

No comments:

Post a Comment