Monday, June 17, 2013

Polis tutup Dataran Taksim


POLIS pencegah rusuhan menggunakan meriam air untuk mengusir penunjuk perasaan antipemeritah di Dataran Taksim di Istanbul semalam.


ISTANBUL - Polis menutup Dataran Taksim kepada lalu lintas dan pejalan kaki di sini selepas menyuraikan penunjuk perasaan yang menawan lokasi tersebut untuk mendesak Perdana Menteri Recep Tayyip Erdogan meletak jawatan selepas 10 tahun memerintah Turki.
Pertempuran antara polis dengan penunjuk perasaan yang cuba untuk kembali ke dataran berkenaan berlanjutan hingga pagi semalam.
Polis menembak gas pemedih mata dan meriam air bagi menyuraikan penunjuk perasaan.
Pihak berkuasa turut mengawal semua jalan raya menuju ke Dataran Taksim.
Sementara itu, beberapa jentolak digunakan untuk merobohkan semua binaan yang didirikan oleh penunjuk perasaan sepanjang protes selama dua minggu di lokasi tersebut.
Tunjuk perasaan besar-besaran itu bermula sebagai bantahan aman bagi menghalang pemerintah daripada membangunkan semula Taman Gezi, di dataran itu.
Polis menyerbu lokasi itu kelmarin selepas kumpulan penunjuk perasaan berikrar meneruskan bantahan mereka walaupun Erdogan berjanji akan menggantung projek pembangunan tersebut
Beliau turut berjanji akan mengadakan satu referendum untuk menentukan sama ada projek pembangunan Taman Gezi akan diteruskan atau sebaliknya.
Polis bergerak masuk ke Dataran Taksim dua jam selepas Erdogan memberi amaran kepada penunjuk perasaan supaya meninggalkan taman itu.
"Kita akan menghadapi tunjuk perasaan di Istanbul esok (semalam)," kata Perdana Menteri berkenaan di hadapan puluhan ribu penyokong pada satu perhimpunan parti pimpinannya, Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP) di ibu kota Turki, Ankara kelmarin.
"Ingin saya jelaskan di sini, kosongkan Dataran Taksim. Jika ia tidak dikosongkan pasukan keselamatan negara ini tahu cara untuk mengosongkannya," kata Erdogan.
Dalam perkembangan berkaitan, Gabenor Istanbul, Huseyin Avni Mutlu berkata, sebanyak 44 orang cedera dalam kekacauan kelmarin tetapi tiada kecederaan serius berlaku. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0617&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz2WQ0oajQZ 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment