Wednesday, June 12, 2013

Maut bom buatan meletup dalam rumah

Maut bom buatan meletup dalam rumahBeberapa anggota polis meninjau lokasi kejadian letupan di Kampung Air, Semporna, semalam. - Foto Fardy Bungga/bh] Semporna: Seorang lelaki warga Pakistan maut akibat letupan bom buatan sendiri di rumah sewanya di Kampung Air dekat sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.20 pagi itu, Attaulah Hukmat Khan, 35, yang tidur di ruang tamu rumah itu terjatuh ke dalam air apabila lantai rumah itu runtuh akibat letupan itu.
Letupan itu turut menyebabkan sebahagian rumah itu rosak teruk.


Letupan gegar rumah 

Difahamkan, mangsa yang berniaga kain di daerah ini, tidur sendirian di ruang tamu, manakala empat rakannya berusia 22 hingga 50 tahun tidur dalam bilik.

Letupan itu turut menggegarkan rumah berhampiran, manakala empat rakan mangsa keluar melalui tingkap untuk menyelamatkan diri.

Ketua Polis Daerah Semporna, Deputi Superintendan Firdaus Francis Abdullah, berkata pihaknya yang menerima maklumat kejadian itu pada jam 4.30 pagi, menggerakkan sepasukan pegawai dan anggota ke lokasi.
“Polis masih menyiasat sama ada bom itu dihasilkan oleh mangsa atau perbuatan khianat orang lain. Kita sudah minta bantuan Unit Forensik Ibu Pejabat Kontinjen Sabah untuk membantu siasatan,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Firdaus menolak kejadian itu ada kaitan dengan insiden pencerobohan pengganas yang mengakibatkan enam anggota polis terbunuh di Kampung Simunul, Mac lalu.

Sementara itu, jiran mangsa, Harlinah Abdul Hakim, 40, berkata dia menyangka perkampungan itu dilanda gempa bumi kerana letupan kuat hingga rumahnya bergegar.

“Saya terkejut dan terus keluar rumah sebelum mendapati tingkap rumah pecah, manakala rumah jiran (mangsa) berasap. Pada masa sama, saya nampak beberapa rakan mangsa keluar melalui tingkap untuk menyelamatkan diri,” katanya.

Seorang penduduk dikenali sebagai Ismail, 33, berkata badannya terkena kaca tingkap rumahnya yang pecah akibat letupan itu.

Serpihan kaca jatuh 

“Saya terkejut terdengar letupan itu dan serpihan kaca tingkap jatuh atas badan. Saya bangun perlahan-lahan untuk mengelak daripada cedera.

“Penduduk panik seketika dan kami segera menghubungi polis kerana bimbang kemungkinan ada letupan susulan,” katanya.

No comments:

Post a Comment