Tuesday, July 2, 2013

Penduduk Hong Kong tuntut pilihan raya telus


Penunjuk perasaan cuba merempuh sekatan jalan raya sambil anggota polis menghalang tindakan tersebut, dalam satu bantahan di pusat bandar raya Hong Kong, semalam. -AP
HONG KONG 1 Julai - Beribu-ribu penduduk Hong Kong mengadakan tunjuk perasaan di sini, hari ini bagi menuntut China mengotakan janji bagi mengadakan pilihan raya demokrasi sepenuhnya di wilayah ini.
Tunjuk perasaan itu diadakan ekoran peningkatan kebimbangan campur tangan daripada pemimpin Parti Komunis ke atas pilihan raya Hong Kong yang akan diadakan pada 2017.
Bekas tanah jajahan Britain itu dipulangkan kepada China pada 1 Julai 1997 dengan janji hak mengundi sejagat sebagai 'sasaran terakhir' untuk dimaktubkan dalam Perlembagaan Hong Kong.
Penunjuk perasaan berhimpun sambil berteriak tanpa menghiraukan hujan dengan sesetengah daripada mereka turut mengibarkan bendera Britain serta kain rentang prodemokrasi.
Aktivis muda kini semakin ramai dengan tinjauan menunjukkan kumpulan itu menganggap diri mereka lebih daripada rakyat Hong Kong berbanding warganegara China, trend yang membimbangkan kerajaan yang mahu wilayah ini menunjukkan lebih 'kesetiaan' kepada tanah besar.
Meskipun China berjanji untuk membenarkan pilihan raya secara langsung kepada pemimpin di bandar raya ini pada 2017, tindakan pegawai kanan China, baru-baru ini meningkatkan kebimbangan Beijing mungkin cuba menyingkirkan calon pembangkang.
"Saya hanya mahu melakukan apa yang kami perlu lakukan iaitu memaklumkan kepada Beijing supaya tidak menghancurkan Hong Kong.
"Ini adalah tunjuk perasaan pertama saya dan pemimpin Hong Kong perlu melakukan lebih banyak lagi untuk mempertahankan hak penduduk," kata seorang penunjuk perasaan, Dominic Wong, 70. - REUTERS


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130702/lu_06/Penduduk-Hong-Kong-tuntut-pilihan-raya-telus#ixzz2XqTjCOqW
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment