Tuesday, July 23, 2013

Pertempuran di dua penjara, 41 maut

BAGHDAD 22 Julai - Pertempuran sengit antara kumpulan lelaki bersenjata dengan pasukan keselamatan tercetus di dua penjara di Iraq sepanjang malam tadi, menyebabkan sekurang-kurangnya 41 anggota pasukan keselamatan dan tahanan maut.
Insiden berlaku selepas kumpulan lelaki bersenjata melancarkan serangan ke atas Penjara Taji di utara Baghdad dan Penjara Abu Ghraib di barat ibu negara Iraq ini dalam usaha untuk membebaskan tahanan.
Pertempuran sengit dilaporkan berlaku dengan insiden berbalas tembakan berterusan selama kira-kira 10 jam.
Seorang kolonel polis berkata, tujuh tahanan melarikan diri dari Penjara Abu Ghraib akibat serangan itu tetapi berjaya ditahan semula.
Namun, kumpulan bersenjata dalam kenyataan mereka di Internet mendakwa beribu-ribu tahanan melarikan diri akibat serangan di dua penjara tersebut.
Pegawai berkata, sekurang-kurangnya 26 anggota keselamatan maut dalam insiden serangan di Penjara Taji dan Penjara Abu Ghraib itu, manakala 40 yang lain cedera.
Angka korban di pihak musuh akibat serangan yang dilancarkan pada pukul 9.30 malam (2 pagi waktu Malaysia) itu masih tidak jelas.
Menurut polis, serangan dilaporkan bermula selepas kumpulan lelaki bersenjata melepaskan mortar ke arah penjara tersebut sebelum empat bom kereta diletupkan berhampiran pintu masuk.
Tiga pengebom berani mati kemudiannya bertindak menyerang Penjara Taji dan lima bom yang ditanam tepi jalan turut meletup berhampiran penjara tersebut. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130723/lu_06/Pertempuran-di-dua-penjara-41-maut#ixzz2Zsbr1Vzd
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment