Saturday, March 8, 2014

66 pelajar dibuang universiti kerana sokong pasukan kriket Pakistan

TIGA pelajar Kashmir yang dibuang universiti ditemu bual pihak media di bandar Srinagar kelmarin.


SRINAGAR, India - Seramai 66 pelajar Islam di wilayah Kashmir yang ditadbir India dibuang universiti kerana bersorak menyokong pasukan kriket Pakistan semasa satu perlawanan menentang India yang disiarkan secara langsung di televisyen, kata polis kelmarin.
Mereka turut diugut akan didakwa kerana menghasut yang membawa kepada hukuman penjara seumur hidup.
Namun, Ketua Menteri negeri Uttar Pradesh di utara India, Akhilesh Yadav berkata, beliau telah memberitahu pegawai-pegawainya supaya menarik balik dakwaan menghasut kerana para pelajar terbabit tidak menyedari mereka telah melakukan kesalahan serius.
Kenyataan Yadav dalam satu temu bual bersama saluran televisyen CNN-IBN dibuat ketika orang ramai berang berhubung tindakan pihak pengurusan universiti membuang pelajar-pelajar berkenaan.
Wilayah Kashmir yang terletak di banjaran Himalaya dituntut oleh India dan Pakistan.
Kelmarin, pegawai polis, N.K.S Chauhan berkata, pihak berkuasa cuba menjejaki semua 66 pelajar tersebut untuk disoal siasat bagi menentukan sama ada mereka boleh didakwa kerana menghasut.
Permainan kriket yang merupakan legasi pemerintah kolonial British menjadi sukan kegemaran rakyat Pakistan dan India selepas kedua-dua negara berpisah pada tahun 1947.
Perlawanan pada Ahad lalu itu dimenangi oleh Pakistan.
Anggota-anggota pemisah telah berjuang untuk kemerdekaan Kashmir atau menyertai Pakistan sejak tahun 1989.
Dalam pada itu, beberapa pelajar berkenaan menyifatkan tindakan membuang mereka sebagai satu diskriminasi.
"Kami tidak melakukan sebarang perkara yang menyalahi undang-undang," kata pelajar pentadbiran perniagaan berusia dalam lingkungan 20-an, Muteebul Majid. - AP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0308&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz2vJximsnc 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment