Saturday, March 8, 2014

Abdul Khalid tidak akan letak jawatan

AHMAD NORMAN ABU TALIB
Abdul Khalid tidak akan letak jawatan

8 Mac 2014
KAJANG – Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menegaskan, selagi beliau belum mendapatkan nasihat Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah serta barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) terlebih dahulu, beliau tidak akan meletakkan jawatannya.

Abdul Khalid berkata, beliau sudah memaklumkan kepada Sultan Sharafuddin serta Exco mengenai perkara itu, dan akan merujuk terlebih dahulu sekiranya terdapat sebarang surat berhubung peletakan jawatan.

Menurutnya, dakwaan berhubung surat peletakan jawatan yang perlu ditandatanganinya sebelum ini hanyalah spekulasi semata-mata, malah beliau menyifatkan perkara itu sebagai merepek.

“Perkara itu tak pernah timbul. Saya tak pernah lihat surat. Saya tidak sain (tandatangan). Kalau saya kena (sain) saya minta kelulusan Exco.

Spekulasi macam itu merepek,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Program Kemahiran Teknikal Belia Desa dan Pemberian Insentif Bas Sekolah kepada Anak-anak Kampung Hulu Langat di Dewan Taman Mesra, Kajang di sini, semalam.

Bulan lalu, khabar angin bertiup kencang kononnya Abdul Khalid yang memegang jawatan tersebut selama dua penggal, dikatakan sudah bersetuju untuk meletakkan jawatannya.

Abdul Khalid kemudian menafikan dakwaan tersebut, walaupun beliau sedang berdepan dengan pelbagai tekanan melibatkan kontroversi antaranya isu pengguguran Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali daripada Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

Ketika ditanya sekiranya memang benar ada surat peletakan jawatan sampai ke pejabatnya pada masa akan datang adakah beliau akan menandatanganinya, Abdul Khalid menegaskan beliau tidak akan berbuat demikian selagi tidak mendapatkan pandangan Sultan serta Exco.

“Saya tidak sain sebab saya telah beritahu Tuanku dan Exco apa-apa tindakan saya mesti saya terangkan kepada mereka,” katanya.

No comments:

Post a Comment