Saturday, March 8, 2014

Rusia tempat 30,000 askar di Crimea


TENTERA Rusia mengepung pangkalan tentera Ukraine di Perevalnoye, dekat pelabuhan Simferofol, dalam wilayah Crimea kelmarin.


KIEV - Rusia kini menempatkan 30,000 askar di wilayah Crimea, kata beberapa unit pengawal sempadan Ukraine semalam.
Mereka berkata, bilangan tersebut dua kali ganda lebih besar daripada angka yang diberikan oleh kerajaan di ibu kota Ukraine di sini.
Seorang pegawai unit berkenaan, Serhiy Astakhov memberitahu agensi berita Reuters bahawa angka tersebut termasuk askar-askar yang tiba sejak minggu lalu dan anggota tentera Armada Laut Hitam Rusia yang berpangkalan di pelabuhan Sevastopol, Crimea.
Rusia sebelum ini mendakwa negara itu hanya mempunyai anggota tentera yang berpangkalan di pelabuhan Sevastopol.
Askar-askar Rusia kini yang tidak memakai lambang tentera negara berkenaan pada uniform mereka kini menguasai beberapa kedudukan di seluruh Crimea.
Namun, mereka menaiki kenderaan tentera yang mempunyai nombor plat tentera Rusia.
Dalam perkembangan berkaitan, kerajaan baharu Ukraine menyatakan beribu-ribu askar tambahan telah tiba dan bergerak ke seluruh wilayah Semenanjung Crimea sekali gus melanggar perjanjian penempatan askar Rusia di negara itu.
Pada awal minggu ini, Ukraine menyatakan terdapat keseluruhan 16,000 askar Rusia di Crimea.
Dalam pada itu, wakil-wakil rakyat Rusia semalam menyambut baik prospek Crimea menjadi sebahagian daripada wilayah Rusia.
Perkembangan tersebut berlaku ketika Amerika Syarikat bertindak untuk mengenakan sekatan lebih ketat ke atas Rusia.
Crimea yang dihuni oleh majoriti etnik Rusia akan mengadakan satu pungutan suara pada 16 Mac ini untuk menentukan sama ada akan menyertai Rusia atau sebaliknya.
"Jika penduduk Crimea memutuskan untuk menyertai Rusia dalam pungutan suara tersebut kami sudah tentu menyokong pilihan mereka," kata Speaker Dewan Rendah, Valentina Matviyenko.
Dalam pada itu, Presiden Rusia, Vladimir Putin tidak menghiraukan amaran rakan sejawatnya, Barack Obama bahawa Rusia akan menerima kesan buruk jika tidak mengundurkan askar-askarnya dari Crimea.
Malah, Putin juga tidak mempedulikan amaran Obama bahawa beliau telah melanggar undang-undang antarabangsa berhubung krisis di Crimea. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0308&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz2vJwrBoVo 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment