Saturday, May 24, 2014

Jeneral Prayuth isytihar diri PM


Kereta yang dilaporkan membawa Yingluck Shinawatra tiba di auditorium tentera, di mana beberapa orang tokoh penting negara ini dipanggil untuk melaporkan diri kepada junta tentera di Bangkok, semalam. - AFP
BANGKOK 23 Mei - Ketua Tentera Thailand, Jeneral Prayuth Chan-ocha mengisytiharkan dirinya sebagai Perdana Menteri sementara, sehingga penggantinya dilantik secara rasmi untuk mengambil alih pemerintahan negara ini.
Majlis Kawalan Keamanan dan Ketenteraman Awam Negara (NPOMC) dalam pengumumannya berkata, Prayuth yang juga komander majlis berkenaan, akan bertugas menjaga hal-ehwal pentadbiran termasuk hubungan luar negara.
Pengumuman itu dibuat ketika pihak tentera mengarahkan 155 pemimpin parti, aktivis dan ahli politik menghadap kerajaan junta hari ini, termasuk bekas Perdana Menteri Thailand, Yingluck Shinawatra dan tiga ahli keluarganya serta Perdana Menteri Niwattumrong Boonsongpaisan.
Dalam kenyataan yang disiarkan melalui siaran televisyen tempatan, tentera turut mengenakan sekatan ke atas kesemua 155 individu terbabit daripada meninggalkan negara ini bagi memastikan konflik politik yang berlanjutan sejak enam bulan lalu dapat diselesaikan, selain bagi mengekalkan keamanan.
Abang ipar Yingluck, Somchai Wongsawat dan dua ahli keluarganya yang lain adalah antara individu yang dipanggil melapor diri kepada pihak berkuasa tentera di Kelab Tentera dekat Bangkok.
Menurut laporan Al-Jazeera, seramai 41 orang pemimpin terkemuka Thailand termasuk Yingluck dan Niwattumrong berbuat demikian pada tengah hari.
Pihak tentera memberi tempoh sehingga pukul 3 petang untuk mereka melaporkan diri.
Sumber yang rapat dengan Yingluck berkata, bekas pemimpin wanita Thailand itu tiba di Kelab Tentera di Bangkok bersama Niwattumrong sebelum mereka dibawa ke lokasi lain oleh askar kira-kira 30 minit kemudian.
Tidak dapat dipastikan tujuan sebenar kerajaan junta memanggil kesemua pemimpin tersebut.
Tindakan tentera Thailand melancarkan rampasan kuasa semalam, turut mengundang kecaman masyarakat antarabangsa yang bimbang situasi politik itu boleh menjejaskan demokrasi di negara ini. - AFP/AGENSI/REUTERS


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140524/lu_01/Jeneral-Prayuth-isytihar-diri-PM#ixzz32a6WtMsc
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment