Monday, July 14, 2014

Isu jawatan MB S'gor selesai sebelum Aidilfitri


SALMIYAH HARUN | .
PETALING JAYA: Kemelut Menteri Besar Selangor dijangka akan berakhir sebelum Hari Raya selepas Majlis Presiden Pakatan Rakyat mengadakan mesyuarat dalam waktu terdekat ini.

Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali berkata, keputusan akhir mengenai isu Menteri Besar Selangor akan dibincangkan dalam Majlis Presiden.

"Kita mengharapkan sebelum raya akan ada satu mesyuarat Majlis Presiden, dan mungkin salah satu isu yang akan dibincangkan adalah isu MB Selangor,"kata Mustafa dalam sidang media di ibu pejabat PKR di sinj hari ini.

Malah Mustafa menegaskan apa-apa perkara khususnya berhubung kemelut ini mestilah bersama-sama melalui Majlis Presiden.

"Isu yang melibatkan pimpinan tertinggi, kita ada Majlis Presiden, kita berpandukan kepada Majlis Presiden. Kita tidak ada pandangan sendiri," jelas Mustafa.

Di dalam mesyuarat Majlis Setiausaha Pakatan Rakyat hari ini, Mustafa menjelaskan pihaknya tidak membincangkan isu mengenai kedudukan Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim.
Beliau turut menafikan pertemuannya dengan Khalid pada malam Sabtu lalu untuk membincangkan isu kedudukan Menteri Besar Selangor.
Mustafa berkata, pertemuan  itu adalah kunjungan balas Khalid Ibrahim ke atas Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang ketika dirawat di Institut Jantung Negara (IJN) tempoh hari.
"Kalau hendak bincang pasal tu kena mesyuarat panjang. Kami pergi jam 11 malam selepas tarawih.
"Kami bincang macam-macam. Tapi tak bincang soal itu," katanya sebaik ditanya apa yang dibincangkan dalam pertemuan itu.
Sabtu lalu, Khalid Ibrahim memuatnaik gambar Abdul Hadi dan Mustafa di laman Facebooknya, gambar itu kelihatan mereka sedang berborak bersama beliau kediamannya di Bukit Damansara.
Ekoran memuatnaik gambar itu, banyak pihak membuat spekulasi bahawa PAS "cuba memujuk" menteri besar itu.

Turut bersama dalam sidang media hari ini, CEO Penyelidikan PAS Pusat Dr Dzulkefly Ahmad, Naib Pengerusi DAP Teresa Kok, Pengarah Strategik PKR Rafizi Ramli. - HARAKAHDAILY 14/7/2014

No comments:

Post a Comment