Monday, July 14, 2014

Membezakan antara militan dengan pengganas


ABU FIRDAUS | .

APABILA ada pihak menyebut istilah militan terhadap seseorang, ada pihak terus melenting dan marah-marah kerana perkataan itu.

Mereka menganggap bahawa militan bermakna pengganas. Sedangkan pejuang dan mujahid dianggap bukanlah militan.

Sememangnya ada pihak yang merujuk pengganas sebagai militan. Tetapi kefahaman mengenai perbezaan antara militan dan pengganas perlu ada supaya tidak berlaku kekeliruan. Semua pengganas adalah militan tetapi tidak semua militan adalah pengganas.

Militan dari perkataan Inggeris "militant". Ia bermaksud seseorang yang bergerak seperti tentera. Ia berkaitan dengan perkataan military yang bermaksud ketenteraan.

Maka apa yang dimaksudkan dengan militan ialah mereka yang bukan tentera tetapi bergerak sebagai tentera. Maknanya mereka bersenjata seperti tentera. Berpakaian seragam dan mempunyai kumpulan yang tersusun dengan memiliki komander atau pemerintah. Umumnya mereka terlatih.

Pengganas pula mempunyai maksud yang berbeza. Dalam bahasa Melayu istilah lain yang digunakan ialah teroris. Teroris adalah daripada perkataan terrorist yang dalam bahasa Inggeris berasal daripada perkataan terrot atau mengerikan. Maka pengganas bermaksud orang yang mengganas.

Dari segi peperangan, pengganas meliputi perbuatan bukan saja membunuh tetapi juga mencederakan dan menyiksa serta mendera orang. Makna khusus pengganas ialah melakukan keganasan terhadap orang awam.

Orang awam pula bermaksud orang biasa yang tidak bersenjata dan umumnya tidak terlibat dengan pertembungan dua belah pihak bersenjata yang berlaku.

Maka, sebab itulah militan tidak semestinya pengganas. Kalau golongan militan ini memerangi tentera atau kumpulan militan lain, atau orang yang bersenjata saja, maka mereka bukanlah pengganas.

Tetapi sebaik saja mereka membunuh atau mengganggui orang awam, maka mereka menjadi pengganas. Jika difahamkan kedua-dua istilah ini, maka dapat disedari bahawa pengganas mestilah seorang militan. Hal ini kerana untuk mereka mengganas, mereka memerlukan peralatan senjata.

Dalam pada itu, ada hujah yang kalau militan ditakrifkan sebagai golongan seperti tentera, maka pengganas yang bukan militan boleh wujud. Kalau seseorang itu membunuh orang awam secara bersendirian, dan tidak menjadi anggota mana-mana kumpulan, maka ia juga boleh dianggap sebagai pengganas.

Tetapi seringkali orang seperti ini hanya disebut sebagai penjenayah. Maka, tetapkanlah bahawa pengganas mestilah seorang militan tetapi militan tidak semestinya pengganas.

Contoh terkini pengganas ialah kumpulan Negara Islam Iraq dan Syam (ISIL) yang telah pun menubuhkan apa yang mereka isytiharkan sebagai khalifah. Mereka dianggap pengganas kerana cara mereka berperang ialah membunuh orang awam.

Bukan itu saja, terdapat kejadian menyiksa dengan ada laporan menyatakan terdapat mangsa yang mati dibakar dan direbus. Walaupun maklumat ini diperoleh daripada media Barat tetapi secara wajarnya dan umumnya, khabarnya sedikit sebanyak dapat diterima.

ISIL sememangnya kumpulan militan kerana mereka merupakan pasukan bersenjata yang teratur. Selain ISIL, contoh pengganas lain ialah al-Qaeda, Jamaah Islamiyah (JI) dan Abu Sayyaf.

Sementara kumpulan militan bukan Islam yang pengganas ialah Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) (Gambar kiri) di Sri Lanka, Shining Path di Peru dan Naxal di India. Contoh militan tetapi bukan pengganas ialah Hamas (Gambar atas), Hizbullah , Mujahidin dan Taliban.

Pada tahun-tahun 60-an dan 70-an, terdapat pengganas daripada kalangan komunis. Antaranya ialah Parti Komunis Malaya (PKM) sendiri dan kumpulan-kumpulan kecil seperti Tentera Merah Jepun (JRA), Briged Merah di Itali, kumpulan Baader Meinhof di Jerman dan Tentera Pembebasan Simbionis (SLA) di Amerika Syarikat.

Ada kalanya, kumpulan-kumpulan ini bermula sebagai pejuang tetapi akhirnya menjadi pengganas.

Di sini perlu juga diperjelaskan apa erti pejuang, gerila, revolusioner dan mujahid. Pejuang adalah sesiapa yang memperjuangkan sesuatu matlamat politik, tidak kira sama ada mereka bersenjata atau tidak.

Selepas Perang Dunia Kedua, muncul banyak pejuang. Baik pejuang kemerdekaan atau pejuang komunis. Pejuang yang menggunakan senjata dan tersusun seperti tentera menjadi militan.

Apabila ia berjuang secara bersembunyi, iaitu tidak terbuka seperti tentera, maka ia dipanggil gerila. Gerila berasal daripada perkataan "guerrilla", iaitu satu istilah dari bahasa Perancis yang bermaksud orang berperang.

Tentera biasa pun boleh bergerak secara gerila. Maka kedua-dua tentera Malaysia dan pengganas komunis melakukan peperangan gerila untuk berlawan satu sama lain. Cumanya, tentera Malaysia adalah tentera sebenar. Sementara PKM sememangnya pengganas.

Revolusioner pula bermaksud lain. Ia merujuk kepada pejuang yang terlibat dalam sesuatu revolusi. Maka pejuang dalam Revolusi Islam Iran adalah revolusioner. Begitu juga dengan pejuang kemerdekaan Indonesia juga revolusioner kerana mereka terlibat dengan Revolusi Indonesia.

Begitu juga dengan mujahid. Mereka yang berjihad adalah mujahid. Tidak semestinya mereka bersenjata. Asalkan terlibat dengan jihad, maka mujahidlah mereka. Tidak mengira mereka bersenjata atau tidak.

Bagi media Barat, mereka menggunakan "jihadist" sebagai merujuk kepada mujahid. Tetapi kini apabila sebut jihadist, maka yang digambarkan ialah militan dan pengganas Muslim. Mujahidin pula hanya dirujuk kepada pejuang Afghanistan yang mengguling kerajaan komunis Kabul.

Pemberontak atau rebel dalam bahasa Inggeris merujuk kepada mana-mana kumpulan yang memberontak daripada kerajaan yang sah di negara masing-masing. Umpamanya ialah Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF) adalah pemberontak kepada kerajaan Manila. Tetapi Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) bukanlah pemberontak kerana mereka berjuang menentang kerajaan haram yang menduduki negara mereka, iaitu rejim Tel Aviv.

Dari segi kemanusiaan, sama ada militan, pemberontak, gerila, pejuang dan mujahid tidaklah salah. Ini kerana mereka bertindak demikian atas sebab-sebab tertentu mengikut keadaan politik negara masing-masing.

Mungkin dari segi undang-undang ada kalangan mereka salah. Tetapi yang salah dari segi kemanusiaan ialah pengganas. Hal ini kerana mereka mendatangkan penderitaan dalam kalangan orang awam yang tidak bersalah.

Namun, perang pasti mendatangkan penderitaan dan kesengsaraan. Ia harus dihalang. Cara menghalangnya ialah terapkan keadilan dan wujudkan kemakmuran. Jika tidak, pasti ada kebangkitan yang berjuang untuk membuat penentangan.

Sebagai contoh, apabila orang Islam di Myanmar ditindas dan ditekan. Mereka menjadi sasaran pengganas Myanmar yang mempunyai matlamat untuk menghapuskan semua orang Islam di negara itu. Tekanan besar ini pasti akan membawa kepada kemunculan pasukan militan bagi membela orang Islam.

Pada waktu yang sama, ada tentera yang bertindak sebagai pengganas. Oleh sebab mereka tentera, maka tidaklah dipanggil militan. Tentera Amerika yang menakluki Iraq tidak kurang menyaksikan pelanggaran peraturan dengan membunuh orang awam serta melakukan penyiksaan seperti apa yang berlaku di Abu Ghraib.

Semua itu adalah tindakan keganasan. Tetapi tidaklah disebut bahawa tentera Amerika itu pengganas. Hal ini kerana perbuatan itu adalah terpencil dan melanggar peraturan mereka sendiri. Maka pesalah-pesalah itu dibicarakan dan dihukum kerana melanggar disiplin. Walaupun hukuman yang mereka terima itu dirasakan kurang setimpal.

Begitu juga dengan tentera Israel. Apabila mereka melancarkan serangan bom ke atas Gaza hingga mengorbankan orang awam, maka tindakan itu adalah jelas keganasan.

Apabila ia kerap berlaku, maka tentera Israel bolehlah dianggap sebagai pengganas. Walaupun secara rasminya ia tetap merupakan sebuah angkatan tentera bagi sesebuah negara berdaulat dan diiktiraf di peringkat antarabangsa. Tetapi dalam bahasa politik mereka tidaklah disebut sebagai pengganas walaupun melakukan keganasan.

Maka dalam keadaan inilah timbul bahawa mungkinkah perbuatan ISIL yang berbentuk ganas itu muncul secara terpencil dan melanggar peraturan yang ditetapkan oleh pertubuhan itu. Apatah lagi ISIL seperti al-Qaeda mempunyai peraturan yang semuanya disandarkan kepada hukum Islam.

Apa-apa saja mereka lakukan ditimbang menurut hukum Islam. Namun begitu, sebahagian daripada tafsiran mereka ditolak oleh ulama secara umumnya.

Contoh jelas ialah perbuatan serangan membunuh diri dalam serangan. Bagi mereka ia dibolehkan dengan memberikan hujah-hujahnya sekali. Tetapi pastinya hujah-hujah mereka ditolak dan ia dianggap sebagai salah tafsiran terhadap al-Quran dan ajaran Islam. Perkara ini pernah terdedah dengan panjang lebar dalam perbicaraan pengganas-pengganas JI di Jakarta.

Kumpulan militan iaitu orang bersenjata apabila terlepas daripada undang-undang negara bila-bila masa boleh melakukan keganasan. Walaupun perjuangannya atas nama agama yang seharusnya membuat mereka berhati-hati dan mengelak daripada melakukan kekejaman.
Tetapi sebagai manusia, sama ada Islam atau tidak Islam, pendedahan kepada kekerasan dan kekejaman boleh berlaku pada bila-bila masa. Terutama pada mereka yang sememangnya mempunyai kecenderungan untuk melakukan keganasan. Kecuali kumpulan berkenaan bertindak tegas menghalang ahli-ahlinya melakukan dengan hukuman keras pada mereka yang melanggar peraturan.

Tetapi perkara ini sukar hendak dilakukan. Sebarang pengetatan disiplin akan membawa kepada perpecahan kumpulan. Hal ini kerana masing-masing semua bersenjata.

Di Indonesia selepas merdeka, pernah muncul kumpulan yang dikenali sebagai Darul Islam. Di bawah pimpinan Kartosuwiryo, mereka mempunyai matlamat untuk menegakkan negara Islam di Indonesia.

Setelah kecewa dengan sistem demokrasi di Indonesia yang menyaksikan parti-parti Islam negara itu sebagai pemenang pilihan raya tetapi tidak boleh membuat perubahan, iaitu Majlis Syura Muslimin Indonesia (Masyumi), maka tertubuhlah Darul Islam untuk berjuang secara bersenjata. Mula-mula mereka hanya militan yang memberontak.

Tetapi akhirnya lambat laun mereka terheret juga ke dalam kancah keganasan. Maka rakyat pun menjauh daripada kumpulan ini. Kerajaan dengan senang melabel mereka sebagai pengganas. Akhirnya mereka tewas. Ini pada zaman pemerintahan Sukarno.

Pada zaman Suharto, Darul Islam muncul semula dengan nama Tentera Islam Indonesia (TII). Kumpulan ini berjaya ditumpaskan tetapi kemudian muncul Jamaah Islamiah yang kini terus menjadi ancaman kepada Nusantara. - HARAKAHDAILY 14/7/2014

No comments:

Post a Comment