Monday, July 21, 2014

Ukraine dakwa Rusia jadi dalang



BEBERAPA anggota kumpulan pemisah pro-Rusia mengawal lokasi nahas pesawat Penerbangan Malaysia dekat Grobovo, Ukraine semalam.


KIEV - Perdana Menteri Ukraine, Arseniy Yatsenyuk menuduh bahawa Rusia mendalangi perbuatan menembak jatuh pesawat Malaysia MH17 kerana operasi tersebut memerlukan anggota profesional dan bukan gorila mabuk (pemisah pro-Rusia).
Beliau membuat dakwaan tersebut dalam satu komen yang disiarkan semalam.
"Kru amat profesional diperlukan untuk mencari sasaran dan melepaskan peluru berpandu Buk ini," katanya kepada sebuah akhbar Jerman mengenai insiden pesawat MH17 milik Penerbangan Malaysia (MAS) yang ditembak jatuh di timur Ukraine sekali gus meragut kesemua 298 nyawa penumpang dan anak kapal.
"Adalah dipercayai anggota-anggota profesional ini datang dari Rusia," beliau dipetik sebagai berkata oleh akhbar berkenaan.
Yatsenyuk memberitahu bahawa tidak mungkin kumpulan pemisah dapat menembak peluru berpandu itu secara bersendirian.
"Kita semua tahu bahawa gorila mabuk (pemberontak) tidak tahu bagaimana untuk menggunakan sistem peluru berpandu canggih itu," katanya kepada akhbar Allgemeine Sonntagszeitung.
Beliau merujuk kumpulan pemisah itu sebagai haiwan gorila yang mabuk.
Perdana Menteri itu juga menyatakan bahawa tentera Ukraine tidak pernah menggunakan peluru berpandu dalam konflik dengan kumpulan pemisah pro-Rusia itu manakala semua peluru berpandu jenis darat ke udara Ukraine pula ditempatkan di kawasan lain.
"Kami bersedia untuk mendedahkan semua bukti dan lokasi," ujarnya.
Menurut Yatsenyuk, konflik di Ukraine bukan perang saudara tetapi merupakan 'campur tangan yang diketuai Rusia.'
"Konflik ini diketuai oleh Rusia, disokong Rusia, dibiayai Rusia dan diselia Rusia," jelasnya.
Tambah Yatsenyuk, masanya sudah tiba untuk menghentikan pencerobohan Rusia.
Menteri Luar Jerman Frank-Walter Steinmeier meminta supaya pasukan penyiasat antarabangsa diberikan akses tanpa gangguan di lokasi pesawat MH17 terhempas di timur Ukraine.
"Sesiapa yang mengganggu siasatan MH17 sama ada menyembunyikan sesuatu atau tidak berhati perut," kata Steinmeier seperti yang dilaporkan akhbar Jerman, Bild. - AFP

No comments:

Post a Comment