• Pesawat penumpang Malaysia terhempas di UkrainePesawat penumpang Malaysia terhempas di Ukraine

KUALA LUMPUR - Malaysia Airlines (MAS) menawarkan bantuan kewangan USD5,000 kepada keluarga setiap penumpang pesawat Penerbangan MH17 yang terhempas di Ukraine Khamis lepas.
MAS dalam satu kenyataan hari ini berkata dana tersebut ditawarkan sebagai tanda muhibah dan membantu keluarga terdekat penumpang meringankan keperluan ekonomi mereka.
"Dana telahpun disediakan untuk tujuan ini. Citibank telah membantu MAS dengan aturan logistik bagi pemindahan dana.
"Bantuan kewangan ini tidak akan diimbangi dalam bayaran ganti rugi muktamad atau menjejas hak tuntutan sah keluarga berkenaan," jelas kenyataan itu.
Ia menyatakan, fokus utama MAS ialah keprihatinan terhadap anggota keluarga yang terjejas akibat tragedi MH17. 
MAS akan membantu keluarga itu pada saat-saat penuh dugaan ini dan akan menyediakan mereka akomodasi hotel, makan dan bantuan pengangkutan, katanya.
"Pada masa sama, syarikat penerbangan itu telah menugaskan penjaga kebajikan (yang dilatih MAS) bagi setiap anggota keluarga untuk memberi sokongan emosi dan keperluan asas.  
"Hingga kini, 79 penjaga kebajikan dan kakitangan sokongan lain berada di Amsterdam, sementara 43 berpangkalan di Kuala Lumpur," kata kenyataan itu.
MAS berterima kasih kerana dapat bekerjasama dengan KLM dalam usaha membantu anggota keluarga berkenaan dari permulaan lagi, katanya.
MAS akan juga menganjurkan sesi doa pelbagai agama untuk kakitangan dan orang ramai.
"Butir lanjut akan diberitahu kemudian," kata kenyataan itu.  
MAS, katanya, meminta kerjasama anggota media agar menghormati privasi keluarga yang bersedih. 
"Keutamaan MAS kekal untuk menyediakan kebajikan dan bantuan kepada keluarga penumpang serta kru dan sebarang maklumat berhubung keadaan peribadi mereka tidak akan diumumkan," kata kenyataan itu.  - Bernama