Saturday, August 23, 2014

13 ADUN PAS Selangor belum sahkan sokong Wan Azizah



SHAH ALAM: PKR mengesahkan 13 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PAS Selangor masih belum menandatangani surat akuan bersumpah (SD) untuk menyokong Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu.
Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali, berkata hanya 30 ADUN menandatanganinya dan ia sudah dihantar kepada baginda Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Beliau juga memaklumkan sehingga hari ini, PKR sudah mendapat sokongan majoriti 30 ADUN, terpulang kepada pihak istana untuk membuat keputusan seterusnya.
"Kita perlu menghormati proses. Dokumen (akuan bersumpah) sudah diserah kepada baginda dan terpulang kepada Tuanku untuk membuat keputusan dalam masa terdekat," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas tamat Kongres Nasional PKR Ke-10 pada hari kedua di Stadium Melawati, di sini.
Ditanya kemungkinan PAS akan mengemukakan nama Menteri Besar lain secara berasingan, Azmin sekadar menjelaskan "saya tidak boleh jawab bagi pihak PAS".
Menyentuh Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Pengkalan Kubur, Ahli Parlimen Gombak itu menyatakan satu mesyuarat bersama PAS akan diadakan Isnin ini bagi membincangkan mengenai persiapan dan calon yang bakal dikemukakan kelak.
Beliau berkata, hasil mesyuarat itu akan dibentangkan kepada pimpinan tertinggi pakatan PKR-DAP-PAS untuk pertimbangan dan kelulusan.

No comments:

Post a Comment