KUALA TERENGGANU – Pas Terengganu akan menghantar surat meminta Pas Pusat dan Majlis Syura Ulama memecat dua Adun Pas di Selangor yang mendahului keputusan parti baru-baru ini.

Pendirian itu dipersetujui sebulat suara dalam mesyuarat parti peringkat negeri yang diadakan kelmarin dan bersetuju menghantar surat secepat mungkin sebaik isu Menteri Besar Selangor selesai.

Pesuruhjaya Pas Terengganu, Satiful Bahri Mamat berkata, tindakan dua Adun membelakangkan parti sebagai tidak wajar dan apa yang dilakukan itu melibatkan soal wala’ atau ketaatan kepada pemimpin serta menyentuh prinsip Pas.

“Soal disiplin, kita tidak kompromi. Kalau di peringkat dalaman kita boleh berbeza pandangan, berbeza pendapat dan berbincang. Kita tiada masalah tetapi bagi tindakan sebegitu, membelakangkan kepimpinan sedangkan Majlis Syura Ulama menentukan keputusan, jadi ini kita rasa tidak wajar,” katanya kepada pemberita di Pejabat Pas di sini, kelmarin.

Sebelum ini, Pas memutuskan menyiasat dua Adun iaitu Adun Hulu Kelang, Saari Sungib dan Adun Morib, Hasnul Baharuddin yang menyatakan sokongan terbuka kepada Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu.

Kedua-duanya dikatakan mendahului keputusan parti dan mengakui tidak merujuk pucuk pimpinan Pas dalam membuat keputusan menyokong Wan Azizah, serta sedia berhadapan sebarang tindakan disiplin termasuk dibuang parti.

Mengulas lanjut, Satiful Bahri berkata, tindakan memecat ahli terutama wakil rakyat bukanlah baharu dalam Pas kerana pernah berlaku terhadap bekas Adun Gombak Setia, Datuk Dr Hassan Mohd Ali dan wakil rakyat lain.

“Pas pernah pecat Ahli Parlimen kerana permasalahan akhlak kerana berjoget yang menjejaskan imej Pas. Pas juga pernah pecat kepimpinan di Terengganu, juga berkait dengan masalah bercanggah dengan perjuangan kita,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau turut meminta Majlis Syura Ulama menyaring nama-nama calon yang bertanding dalam pemilihan Pas Pusat pada masa akan datang.

Menurutnya, ia bertujuan memastikan imej Pas terus terpelihara daripada perkara yang menjejaskan parti itu.

“Pas telah membuka ruang begitu luas. Kadang-kadang kita bimbang ada orang ambil kesempatan Pas sebagai platform selain daripada yang diputuskan oleh parti sendiri. Kita tidak mahu bibit-bibit ini berkembang,” katanya.