Saturday, August 23, 2014

Cameron: MH370 sukar dijumpai


SYDNEY 22 Ogos - Pengarah filem Hollywood yang juga penjelajah laut dalam, James Cameron percaya, pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang hilang di Lautan Hindi ketika dalam perjalanan ke Beijing, sukar untuk dijumpai ekoran kekurangan penajaan dalam pembuatan kenderaan dasar laut.
Agensi ABC melaporkan, Cameron yang baru menerbitkan dokumentari Deepsea Challenge 3D mengenai penjelajahan bersejarah ke dasar laut berkata, dia tidak terkejut mengapa bangkai pesawat MH370 masih belum ditemukan.
"Lautan Hindi sangat luas dan kita tidak mempunyai penajaan cukup untuk kenderaan dan peralatan penjelajahan dasar laut.
"Saya rasa pihak bertanggungjawab tidak akan dapat menemukan pesawat itu. Mereka tidak akan dapat menentukan lokasi kotak hitamnya tanpa maklumat terperinci," katanya kepada rancangan ulasan filem, 612 ABC Brisbane.
Firma Belanda, Fugro Survey Pte Ltd. kini mengetuai pencarian pesawat MH370 yang hilang di selatan Lautan Hindi sejak 8 Mac lalu.
Fugro menggunakan dua buah kapal dilengkapi kenderaan laut dalam yang ditunda dan membawa pakar untuk menjalankan operasi pencarian.
Cameron pada 2012 menjadi orang pertama menjelajah dasar laut menggunakan kapal selam secara solo.
Cameron berjaya mencapai kedalaman 10,898 meter di Jurang Mariana yang terletak di barat Lautan Pasifik menggunakan kapal selam seberat 12 tan, Deepsea Challenger.
Dia berkata, masih banyak pihak sukar mempercayai bahawa sesuatu boleh hilang di laut dan sukar untuk dijejaki.
"Di kurun ke-21 ini, mereka merasakan kita telah menjelajah ke semua tempat di Bumi, namun akhirnya kita sedar kita tidak mempunyai akses untuk ke semua lokasi berkenaan," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140823/lu_07/Cameron-MH370-sukar-dijumpai#ixzz3BAEIOYdC
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment