SHAH ALAM - Setelah memuatnaik status berkaitan isu wanita dan jawatan menteri besar semalam, AJK Pas Pusat, Nasrudin Hassan terus 'menyerang' bersabit isu nepotisme pula.

Menerusi status Facebook yang dimuatnaik lewat malam tadi, Nasrudin yang juga Ahli Parlimen Temerloh menyentuh tentang isu berkenaan sambil merujuk kepada insiden membabitkan menantu Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

"Sewaktu Tuan Guru Nik Abdul Aziz menjadi Menteri Besar Negeri Kelantan, menantunya Ir Abdul Ariffahmi Ab Rahman pernah dikritik hebat kerana dilantik sebagai CEO PMBK pada tahun 2009 dan akhirnya membawa kepada pengunduran beliau.

"Istilah nepotisme menjadi asas kritikan. Pas Pusat menasihati Kelantan dan Ariffahmi akur. Apakah selepas lima tahun, nepotisme tidak lagi menjadi isu pada hari ini?," tulis beliau.

Menulis lanjut, Nasrudin seolah-olah mempersoalkan bagaimana Pas berhadapan isu nepotisme yang sebelum ini juga pernah membelit parti itu.

"... atau nepotisme hanya untuk Ariffahmi menantu Tuan Guru Nik Abdul Aziz, tidak kepada yang lain?

"Kalau nepotisme dibenarkan dan diterima, kenapa baru sekarang? Sepatutnya ia sudah diterima pada lima tahun yang lalu. Barangkali lima tahun lalu tidak wajar isu nepotisme dibangkitkan bagi mewajarkan amalan nepotisme di hari ini," luah beliau.

Semalam, Nasrudin yang dilihat seolah-olah menyindir Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi status Facebooknya berkata, status itu dimuatnaik bukan untuk mencetus kontroversi dengan mana-mana pihak.

Beliau berkata, pandangan dilontarkan dalam laman sosial itu juga untuk memberi penjelasan kepada pihak yang mempertikaikan pandangan ulama sebelum ini berkaitan wanita tidak boleh menjadi pemimpin utama kerajaan atau negeri.

Ditanya, adakah statusnya itu dituju kepada Anwar yang menamakan isterinya, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon Menteri Besar Selangor yang baharu, Nasrudin berkata:

“Saya tidak tuju terus pada sesiapa. Kalau saya nak sebut nama pun boleh. Ini hanya tazkirah umum supaya ia dapat disedari merujuk kepada perkembangan semasa maka itu lah status saya. Status itu menjawab perkembangan paling besar pada hari ini".

Sementara itu, status terkini Nasrudin itu turut memuatkan pautan sidang media oleh Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali selepas PRU13 lalu berkaitan isu nepotisme apabila nama Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim diserahkan kepada pihak istana, yang didakwa tidak dirujuk kepada Adun parti berkenaan.

"Jelas dalam proses memilih calon menteri besar anjuran al-Quran tidak dipatuhi.

"... saya dan rakan-rakan tidak mahu amalan nepotisme membudaya di dalam PKR. PKR bukan milik individu atau keluarga-keluarga tertentu, parti ini adalah milik rakyat," Mohamed Azmin dipetik sebagai berkata.