BRUSSELS - BELGIUM. Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) mendesak Rusia menghentikan operasi ketenteraan di Ukraine selepas melihat ia  boleh menggugat kestabilan sekali gus mencabul kedaulatan kedua-dua negara itu.

Ketua Nato, Anders Fogh Rasmussen berkata, tindakan Rusia itu merupakan perbuatan berbahaya yang boleh mewujudkan provokasi tahap tertinggi.

“Kami turut menggesa Rusia menghentikan bekalan senjata kepada pemberontak pro-Kremlin yang disifatkan sebagai pencerobohan. Ia dilihat makin berleluasa sejak bulan lalu hingga menimbulkan huru-hara," katanya.

Terdahulu, Moscow dan Barat mendakwa tentera Rusia kini mengetuai serangan balas hingga menyebabkan pemberontak menawan kawasan wilayah tenggara Ukraine.

Bagaimanapun menurut AFP, Presiden Rusia Vladimir Putin, menafikan tuduhan itu dan menuduh Barat bertanggungjawab hingga memburukkan lagi konflik terbabit selepas menghantar anggota tentera ke wilayah terbabit.