Sunday, August 31, 2014

Obesiti pengaruhi peluang pekerjaan


Karsten Kaltoft mahu individu obesiti didaftar sebagai orang kurang upaya (OKU), selepas dia dipecat oleh majikannya di Denmark kerana gagal menjalankan tugasan yang diberikan. - AGENSI
NEW YORK 30 Ogos - Satu tinjauan yang dijalankan ke atas jabatan sumber manusia dan pengambilan profesional baharu di Amerika Syarikat (AS) mendapati, majikan lebih cenderung untuk mengambil pekerja yang tidak mempunyai masalah obesiti.
Mail Online yang memetik hasil tinjauan oleh pusat pengajian Virginia Tech dan Universiti Buffalo, menunjukkan, pekerja yang mengalami masalah obesiti didapati kurang produktif, tidak bekerja kuat, mempunyai etika kerja yang rendah dan mudah mendapat kecederaan.
Selain itu, kira-kira 40 peratus pekerja yang mengalami masalah kegemukan juga mempunyai daya tahan yang lebih rendah.
Tinjauan terbabit diadakan selepas berlakunya kes mahkamah di Denmark, Karsten Kaltoft v Billund Kommune, di mana seorang pembantu rumah yang mengalami masalah obesiti dibuang kerja kerana tidak mampu membongkok untuk mengikat tali kasut anak majikannya dan mangsa mendakwa obesiti boleh disifatkan sebagai Orang Kurang Upaya (OKU).
Seorang peserta yang terlibat dalam kaji selidik tersebut, Neill Thomas berkata, sememangnya berlaku sikap berat sebelah terhadap calon obesiti dan perkara itu menghalang majikan daripada mendapatkan pekerja yang terbaik.
"Sebenarnya tinjauan ini telah mendedahkan masalah berat sebelah yang dialami oleh calon obesiti ketika sesi pengambil pekerja dijalankan. Di mana ada kemungkinan calon yang layak tidak akan diambil berkerja," jelas Thomas.
Dalam satu lagi tinjauan yang dijalankan oleh seorang peguam, Thomas Mansfield mendapati, lebih separuh daripada responden menyatakan mereka lebih berminat untuk mengupah calon normal.
Manakala lebih satu per tiga responden berpendapat sukar bagi mereka untuk mengambil calon obesiti.
"Tinjauan juga mendapati 56 peratus responden berpendapat obesiti menjadi penanda aras bagi meramal watak dan keupayaan calon," ujar Mansfield.

No comments:

Post a Comment