Sunday, August 17, 2014

Dijangka kemukakan calon lain bagi jawatan Menteri Besar



KUALA LUMPUR 16 Ogos - Mesyuarat Jawatankuasa Pas Pusat esok dijangka tetap menolak pencalonan Datin Seri Dr.Wan Azizah Wan Ismail sebagai Menteri Besar Selangor bagi menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Satu sumber memberitahu Mingguan Malaysia, walaupun pemimpin-pemimpin Pas yang dilihat cenderung menyokong Wan Azizah akan berhujah menentang langkah itu namun parti tersebut mempunyai alasan tersendiri kenapa pendirian berkenaan terpaksa dibuat.
"Boleh dikatakan hampir mustahil untuk Pas menyokong Wan Azizah kerana kita mempunyai sebab tertentu kenapa tindakan itu dilakukan," kata sumber tersebut ketika dihubungi di sini, hari ini.
Sumber berkenaan menjelaskan, mesyuarat yang dianggap amat penting itu mempunyai beberapa pilihan bagi menamatkan krisis politik di Selangor termasuklah mengemukakan nama ADUN lain bagi menggantikan pencalonan Wan Azizah.
"Apa yang menjadi pegangan utama dalam membuat keputusan bagi calon Menteri Besar itu ialah ia mestilah berpandukan kepada perkenan Sultan Selangor. Pas akan patuh terhadap apa juga titah baginda," katanya.
Ditanya siapakah calon tersebut, sumber itu berkata, mereka mempunyai beberapa pilihan tetapi yang pastinya ADUN berkenaan sudah tentu daripada PKR.
"Itu perjanjian Pas dengan PKR dan DAP iaitu kerusi Menteri Besar Selangor akan disandang oleh PKR, cuma apa yang perlu dipastikan ialah calon berkenaan mesti diperkenan oleh istana," katanya lagi.
Sumber itu juga mengakui, Timbalan Presiden PKR Azmin Ali merupakan calon paling popular bagi menggantikan Abdul Khalid, walaupun ADUN Ijok, Dr. Idris Ahmad akan turut disenaraikan.
Mengulas lanjut sumber itu turut tidak menolak kemungkinan dalam usaha meredakan keadaan, mesyuarat Pas akan membuat keputusan terus menyokong Abdul Khalid sehingga Sultan Selangor kembali ke tanah air pada 27 Ogos ini.
"Kalau Pas membuat keputusan sekarang menarik sokongan kepada Abdul Khalid ketika Sultan Selangor tiada dalam negara, ia boleh menjejaskan pentadbiran negeri.
"Oleh itu adalah lebih baik, biar pun Pas menolak pencalonan Wan Azizah tetapi parti tersebut tetap menanti kepulangan Sultan bagi membolehkan pendirian muktamad dibuat," katanya.
Sumber itu juga menolak sebarang andaian Pas akan membuat keputusan yang boleh menyebabkan hubungan parti tersebut dengan PKR dan DAP berakhir.
"Tetapi kalaupun Pas kekal dalam pakatan pembangkang, kemesraan agak 'tawar' memandangkan kedua-dua parti itu telah membuat pelbagai kenyataan yang dilihat mengguris perasaan pemimpin dan ahli Pas di peringkat akar umbi," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20140817/po_03/Dijangka-kemukakan-calon-lain-bagi-jawatan-Menteri-Besar#ixzz3AbDW8iik
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment