• Reverend Sing Han menjalankan upacara keagamaan agama Buddha di Rumah Mayat Monuta Ineeme, S-Gravanhage di The Hague hari ini. - Foto BernamaReverend Sing Han menjalankan upacara keagamaan agama Buddha di Rumah Mayat Monuta Ineeme, S-Gravanhage di The Hague hari ini. - Foto Bernama

THE HAGU - BELANDA. Suasana suram menyelubungi proses pengurusan empat mayat bukan Islam nahas pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH17 di Rumah Mayat Monuta, S-Gravanhage di sini pada Sabtu.

Upacara penuh keagamaan itu membabitkan ritual agama Buddha dan Tao, yang bermula pada kira-kira pukul 11 pagi waktu tempatan.

Ketua Agama Buddha Reverend Sing Han dan Ketua Agama Tao Daozhang Tan Boon Sin, yang dibawa khas dari Malaysia, mengetuai upacara itu termasuk proses sembahyang dalam satu bilik khas.

Kelihatan empat keranda diletak secara bersusun dalam bilik itu namun upacara dijalankan secara tertutup untuk umum, termasuk media Malaysia yang berada di sini sejak pagi.

Kedengaran loceng dibunyikan selain mantera dan bacaan mengikut anutan serta kepercayaan masing-masing dilakukan, termasuk bertafakur sebelum upacara berakhir kira-kira sejam kemudian.

Kedua-dua ketua agama secara ringkas memaklumkan upacara menyempurnakan mayat terbabit dijalankan secara serentak, sempurna dan teratur.

Mereka berkata upacara penuh keagamaan itu diharap dapat memberi penghormatan terakhir kepada mayat agar roh mereka tenang dan aman.

Seorang anggota keluarga yang hadir memberi penghormatan terakhir kepada mangsa terbabit dalam upacara itu bagaimanapun enggan ditemu bual.

Upacara menguruskan satu mayat beragama Hindu dilakukan oleh Ketua Agama berkenaan Datuk S.Mohanshan pada Khamis manakala satu mayat beragama Sikh pula disembahyangkan oleh Ketua Agama Sikh Sardar Harcharan Singh pada Jumaat.

Sementara itu, upacara solat jenazah, bacaan Yasin dan tahlil bagi enam penganut Islam dilakukan pada Selasa dan Rabu di pusat ini, juga disempurnakan Imam Besar Masjid Putrajaya Abdul Manaf Mat.

Dalam pada itu, dua mayat beragama Kristian dijangka diurus oleh paderi dari Majlis Gereja Belanda pada Isnin.

Kesemua mayat adalah antara 16 yang akan dihantar pulang ke Kuala Lumpur dengan sebuah pesawat khas dari Amsterdam dan dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pukul 10 pagi pada 22 Ogos. -Bernama