Sunday, August 17, 2014

Ukraine dakwa musnahkan konvoi tentera Rusia


Ukraine mendakwa telah memusnahkan konvoi tentera Rusia terdiri daripada trak dan kereta perisai yang dilihat menghampiri Kamensk-Shakhtinsky, di wilayah Rostov yang bersempadan dengan Ukraine, kelmarin. - REUTERS
KIEV 16 Ogos - Ketegangan antara Ukraine dan Rusia semakin meningkat apabila Kiev mengakui telah memusnahkan sebahagian 'konvoi tentera dari Moscow' yang didakwa memasuki sempadan di timur negara ini, semalam.
Presiden Ukraine, Petro Poroshenko dalam kenyataannya berkata, konvoi kecil tentera Rusia itu yang dipercayai terdiri daripada trak dan kenderaan perisai dimusnahkan dalam serangan meriam dikesan di kawasan sempadan negara ini.
Kenyataan Poroshenko turut mendapat sokongan daripada ketua Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), Anders Fogh Rasmussen tentang cubaan Rusia melancarkan serangan berdasarkan laporan media Britain yang melihat konvoi kira-kira 20 kenderaan perisai di sempadan Ukraine.
Bagaimanapun Poroshenko dan Rasmussen tidak memberi butiran lanjut sama ada serangan itu mengakibatkan kematian dalam kalangan tentera Rusia dan lokasi sebenar kejadian.
Kiev sebelum ini menuduh Rusia cuba mengaburi tindakan menghantar senjata kepada kumpulan pemberontak pro-Moscow di wilayah timur Ukraine dengan menggunakan alasan membawa masuk bantuan bekalan kemanusiaan menerusi 280 buah trak.
Kementerian Pertahanan Rusia bagaimanapun menafikan tuduhan terbabit dan menegaskan Moscow tidak menyeludup senjata kepada kumpulan pemberontak menggunakan misi kemanusiaan.
Malah Kementerian Luar Rusia menuduh Ukraine cuba menghalang penghantaran bantuan kemanusiaan selepas trak-trak yang membawa bekalan tersadai kira-kira 30 kilometer dari sempadan Ukraine.
Dalam perkembangan lain, seramai 11 penduduk awam dan lima askar kerajaan terbunuh dalam tempoh 24 jam di Donetsk ketika tentera Ukraine mendakwa berjaya merampas semula tiga pekan kecil.


Artikel Utusan Melayu (M) Bhd 
 

No comments:

Post a Comment