Thursday, August 7, 2014

Perjanjian damai Filipina-MILF rapuh


PERJANJIAN damai antara kerajaan Filipina dan MILF pada Mac lalu, boleh menamatkan konflik berdarah di selatan negara itu sekiranya berjaya dicapai. - AGENSI
MANILA 6 Ogos - Perjanjian damai antara kerajaan Filipina dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) yang ditandatangani pada Mac lalu, berada dalam kedudukan bahaya apabila kerajaan dituduh cuba memungkiri usul undang-undang kumpulan pergerakan Islam yang diberi kuasa autonomi bagi mengawal wilayah Mindanao, selatan negara ini.
Ketua perunding MILF, Mohagher Iqbal berkata, pasukan perundangan yang dilantik oleh Presiden Benigno Aquino telah melakukan perubahan terhadap usul Perlembagaan yang dibentangkan dengan memadamkan atau mengkaji semula kira-kira 70 peratus perkara yang ditulis dalam draf undang-undang Bangsamoro setebal hampir 100 muka surat itu.
Menurut Mohagher, di bawah perjanjian damai yang diusahakan dengan kerjasama kerajaan Malaysia, MILF bersetuju untuk meletak senjata dan membina semula masyarakat sebagai pertukaran kerajaan Filipina memberi kuasa pemerintahan yang lebih besar kepada kumpulan pemisah tersebut termasuk sektor ekonomi dan kemasyarakatan.
Jelasnya, perkembangan positif perjanjian damai itu semakin rapuh apabila kerajaan melanggar perjanjian awal dengan meletakkan had ke atas kuasa autonomi MILF berbanding persetujuan yang dicapai sebelum ini.
"Kami tidak boleh menerima usul yang telah diubah oleh pasukan perundangan kerajaan Filipina.
"Kami akan kehilangan maruah jika menerima usul tersebut kerana mereka (kerajaan) melupakan tujuan dan nilai sebenar perjanjian damai yang merupakan perkara asas untuk membentuk undang-undang Bangsamoro," katanya.
Kedua-dua pihak yang menandatangani perjanjian damai pada Mac lalu untuk mengakhiri konflik hampir 50 tahun di Mindanao, terpaksa mengadakan pertemuan tergempar pada minggu ini bagi menyelesaikan kemelut yang tidak dijangka dan membahayakan pencapaian terbaik Aquino itu.
Pembatalan perjanjian damai antara Filipina dan MILF berpotensi mengembalikan keganasan dan memberi kesan buruk ke atas usaha memulihkan ekonomi di Mindanao ketika pelabur dan syarikat asing termasuk sektor pertanian dan perlombongan masih menunggu lampu hijau bagi memastikan keamanan di wilayah selatan itu benar-benar terjamin.
Syarikat-syarikat besar seperti firma pemprosesan makanan, Del Monte Pacific Limited yang mempunyai ladang nenas di Mindanao, turut dilapor bersedia untuk mengembangkan operasi selepas perjanjian damai itu dimeterai. - REUTERS


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140807/lu_07/Perjanjian-damai-Filipina-MILF-rapuh#ixzz39eZXggoJ
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment