Friday, August 8, 2014

Ramai mohon jadi menteri


2014/08/08 - 04:32:08 AM

Ramai mohon jadi menteri
Jokowi (kiri) bersama penasihatnya, Anies Baswedan ketika menunggu pengumuman keputusan pilihan raya di Jakarta, 22 Julai lalu. - Foto REUTERS

» Jokowi wujud pasukan untuk nilai calon berpotensi

Jakarta: Joko ‘Jokowi’ Widodo kini berhadapan dengan tekanan yang semakin meningkat berikutan semakin ramai individu terutama dari kumpulan sukarelawan beliau secara terbuka menuntut kemasukan mereka dalam pentadbiran baharunya.


Selain ahli politik dari partinya dalam pakatan yang diketuai Parti Demokratik Indonesia Perjuangan (PDI-P), ramai yang mendakwa sebagai sukarelawan dalam kempen Pilihan Raya Presiden beliau juga menuntut jawatan menteri dalam Kabinet beliau.

Seorang pensyarah dari Sekolah Ekonomi Perbanas, Abdul Rani Rasyid yang mendakwa mengendalikan satu daripada kumpulan sukarela, Ikatan Pemilih Indonesia adalah seorang daripada individu yang menyerahkan resume kepada pasukan peralihan Jokowi kelmarin, memohon satu jawatan menteri khusus dalam bidang ekonomi.

Inisiatif sendiri

“Ini adalah inisiatif saya sendiri. Saya yakin mengenai permohonan ini kerana saya rasakan saya mempunyai kepakaran dan juga kerana saya membantu beliau (Jokowi) memenangi pilihan raya,” katanya selepas menyerahkan resume kepada wakil pasukan peralihan di Jakarta Pusat.

Seorang pemohon lain, yang hanya dikenali sebagai Ratna, ahli Parti Keadilan dan Persatuan Indonesia (PKPI), mendakwa mendapat sokongan kira-kira 500,000 rakan sukarelawan untuk memohon bagi satu jawatan menteri dalam kebajikan sosial.
Dalam usaha untuk mendapatkan input mengenai calon yang benar-benar layak sebagai anggota Kabinetnya, Jokowi mewujudkan sebuah pasukan khas untuk mengenal pasti dan menilai calon berpotensi bagi jawatan menteri, selain sebuah pasukan peralihan, yang membantu mereka bentuk struktur Kabinet Jokowi.

Tetapi tugas utamanya adalah memberi fokus kepada persediaan program untuk dilaksanakan apabila Jokowi dan rakan gandingannya, Jusuf Kalla memulakan tugas.

Jokowi Isnin lalu memperkenalkan pemimpin pasukan peralihannya, membabitkan ketua staf, bekas menteri perdagangan, Rini Mariani Soemarno Soewandi dan empat timbalan beliau, Rektor Universiti Paramadina, Anis Baswedan; penganalisis pertahanan, Andi Widjajanto; ahli politik Parti NasDem, Akbar Faizal dan timbalan setiausaha agung PDI-P, Hasto Kristiyanto. - AGENSI

No comments:

Post a Comment