Friday, September 19, 2014

Akademi latih pembantu rumah profesional


Beberapa orang pelatih tekun mengikuti latihan di Akademi Pembantu Rumah Kebangsaan di Chengdu bagi melahirkan pembantu rumah profesional yang mampu berkhidmat untuk golongan atasan di China. - AGENSI
BEIJING 18 Sept. - Peningkatan jumlah jutawan di negara ini yang mahukan layanan kelas pertama ketika berada di rumah, telah membawa kepada penubuhan sebuah institusi pendidikan yang dikhaskan untuk melahirkan pembantu rumah profesional.
Mail Online melaporkan, Akademi Pembantu Rumah Kebangsaan yang beroperasi secara rasminya Julai lalu di sebuah villa mewah di Chengdu, diwujudkan hasil idea Robert Wennekes, 56, bekas ketua pembantu rumah di Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Jerman.
Wennekes berkata, akademi yang semakin popular dalam kalangan penduduk China itu merupakan institusi pengajian pertama seumpamanya di negara ini dan bertanggungjawab memberi tunjuk ajar tentang budaya golongan atasan di barat.
Akademi yang menggenakan yuran pembelajaran sebanyak 10,900 pound (RM57,216) itu menawarkan latihan selama lapan minggu daripada kerja-kerja mengilap sudu dan gelas, menyediakan meja makan menggunakan pembaris sehingga menuang air ke dalam gelas majikan.
Pelajar turut dibekalkan dengan tiga helai pakaian seragam lengkap dan makanan sepanjang mengikuti latihan, selain dibawa melawat ke rumah-rumah mewah di Eropah.
Mereka yang berjaya menamatkan pengajian di akademi yang mempunyai tenaga pengajar dari Kanada, Amerika Syarikat, Belgium dan Switzerland itu bakal menerima gaji antara 30,000 (RM157,476) dan 90,000 pound (RM472,430) sebulan jika diterima bekerja.
Profesor Kebudayaan China dari Universiti Kajian Timur dan Afrika (SOAS), Michel Hockx berkata, budaya barat menggambarkan simbol status seseorang bagi membezakan mereka dengan penduduk lain.
"Sebab utama mengapa permintaan terhadap pembantu rumah profesional meningkat berkait rapat dengan kelas sosial seseorang. Jutawan China mahu mencontohi golongan atasan AS dan United Kingdom yang memiliki simbol status yang begitu dikagumi," jelasnya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140919/lu_13/Akademi-latih-pembantu-rumah-profesional#ixzz3Di8wrOeR
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment