Friday, September 19, 2014

Jemaah haji bebas daripada wabak berbahaya


Doktor memberi suntikan vaksin kepada seorang jemaah haji bagi mengelakkan daripada dijangkiti penyakit berjangkit di Mekah, baru-baru ini. - AGENSI
MEKAH 18 Sept. - Arab Saudi melaporkan jemaah haji yang berada di Mekah setakat ini bebas daripada sebarang wabak, kata Pemangku Menteri Kesihatan, Adel Fakieh yang membuat pemeriksaan ke atas jemaah menunjukkan tiada sebarang penyakit berjangkit ditemui.
Laman web saudigazette.com melaporkan, kementerian itu telah mengambil langkah pencegahan bagi melindungi jemaah daripada sebarang penyakit berjangkit.
Adel Fakieh turut mengesahkan bahawa kemudahan perkhidmatan yang disediakan seperti rawatan dan ambulans di hospital dan pusat-pusat penjagaan kesihatan di sekitar Mekah, Madinah dan tanah suci adalah mencukupi untuk jemaah haji.
Tambah beliau, Kementerian Kesihatan sudah menghantar pegawai untuk membantu jemaah haji dari seluruh dunia.
Menurut Fakieh, Arab Saudi mendapat penghormatan setiap tahun berhubung perkhidmatan terbaik yang disediakan untuk jemaah melalui kerjasama dan penyelarasan antara agensi-agensi kerajaan untuk memastikan jemaah haji sihat dan selamat kembali ke negara masing-masing setelah tamatnya tempoh haji.
Setakat ini, kira-kira 38,000 orang jemaah haji telah tiba di Mekah dari 19 buah negara melalui pengangkutan darat dan udara, lapor Pengerusi Lembaga Pengarah Penubuhan Kebangsaan Mutawwif Arab Saudi, Faisal Muhammad Nouh.
Dalam perkembangan sama, Muhammad Nouh berkata, terdapat 116 kumpulan pekerja ditugaskan memberi perkhidmatan kepada jemaah dari Arab Saudi yang dijangka bilangannya mencecah 300,000 orang pada musim haji tahun ini.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140919/lu_06/Jemaah-haji-bebas-daripada-wabak-berbahaya#ixzz3Di7Gggrj
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment