Wednesday, September 3, 2014

Denda RM42,344 bawa jemaah haji wanita tanpa muhrim


MEKAH 2 Sept. - Pihak Berkuasa Penerbangan Awam (GACA) Arab Saudi memberi amaran terhadap syarikat penerbangan supaya tidak membawa jemaah haji wanita berusia 45 tahun ke bawah yang tidak ditemani muhrim lelaki, lapor laman web Saudi Gazette.
Pihak Berkuasa Penerbangan Awam (GACA) Arab Saudi dalam satu kenyataan berkata, kegagalan syarikat penerbangan terbabit mematuhi arahan tersebut akan menyebabkan mereka didenda sebanyak 50,000 riyal (RM42,344).
Pihak berkuasa itu berkata, jemaah haji terbabit akan dihalang daripada memasuki Mekah dan dihantar pulang dengan menggunakan penerbangan sama.
"Syarikat penerbangan akan didenda dan perlu menanggung kos perbelanjaan pulang penumpang berkenaan," jelas GACA.
Menurut sumber, setiap tahun GACA mengeluarkan amaran tersebut bagi menjamin keselamatan jemaah haji bermula dari ketibaan mereka ke tanah suci sehinggalah berlepas pulang ke tanah air masing-masing.
Seorang pengurus syarikat haji di Jeddah mendedahkan, masalah berhubung jemaah tanpa ditemani muhrim tersebut sering ditimbulkan oleh agensi haji yang berada di luar negara.
"Kebanyakan daripada agensi ini menyenaraikan nama jemaah haji wanita tanpa seorang penjaga yang sah dengan mana-mana jemaah lelaki yang terdapat dalam kumpulan mereka.
"Ini merupakan satu perkara biasa yang dilakukan oleh agensi terbabit dan agar sukar sebenarnya untuk mengesahkan hubungan di antara mereka yang terlibat," jelas pengurus berkenaan.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140903/lu_09/Denda-RM42344-bawa-jemaah-haji-wanita-tanpa-muhrim#ixzz3CC7CeBxZ
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment