Wednesday, September 3, 2014

‘Jual pesawat presiden’


Joko Widodo (Jokowi) dan Jusuf Kalla (JK)dinasihat menjual kapal terbang rasmi yang dibeli kerajaan di bawah Presiden Susilo Bambang Yudhoyono sebagai teladan kepada rakyat.

Agensi Jakarta Ahli politik Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P) Maruarar Sirait berkata, langkah menjual pesawat udara itu perlu dilakukan sejurus selepas kedua-dua mereka mengangkat sumpah sebagai presiden dan naib presiden.



“Saya mencadangkan kapal terbang rasmi itu dijual saja demi meningkatkan kecekapan perbelanjaan,” katanya di majlis pengumuman keputusan kaji selidik Lembaga Survei Indonesia (LSI) di Jakarta semalam.

Di majlis itu LSI membentang keputusan kaji selidik bertajuk Ketempangan Pendapatan di Indonesia: Harapan Awam Terhadap Pemerintahan Jokowi - JK.


Maruarar berkata, langkah penjimatan itu memang wajar dilakukan seorang pemimpin tertinggi Indonesia.

Justeru, katanya, diharap pegawai peringkat bawahan juga akan mencontohi langkah dibuat Jokowi serta JK dengan tidak menggunakan kelas pertama ketika menaiki kapal terbang untuk menjalankan tugasan.


“Rakyat mesti diperlihatkan langkah penjimatan perbelanjaan pegawai kerajaan, selain mengurangkan protokol.

“Jika tidak, pemimpin tidak dilihat bersederhana seperti rakyat yang mampu bersederhana,” katanya.

Turut menarik perhatian Maruarar ialah kos perjalanan pegawai kerajaan dengan mengurangkan kekerapan perjalanan ke luar negara.

Pada masa sama, Maruarar menyatakan keyakinannya terhadap keupayaan Jokowi dan JK membersihkan penyangak di setiap kementerian.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/03

No comments:

Post a Comment