Sunday, September 14, 2014

MH17: Belanda hantar pakar

Gambar bertarikh 17 Julai 2014 menunjukkan seorang pegawai berada di lokasi kemalangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 di Grabovo dalam wilayah Donetsk, Ukraine. Kerajaan Belanda semalam mengambil keputusan untuk menghantar lebih ramai pakar ke Ukraine bagi mengukuhkan lagi misi pemulihan dan penghantaran balik mayat mangsa nahas pesawat MAS MH17. - REUTERS
THE HAGUE 13 Sept. - Kerajaan Belanda semalam mengambil keputusan untuk menghantar lebih ramai pakar ke Ukraine bagi mengukuhkan lagi misi pemulihan dan penghantaran balik mayat mangsa nahas pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17.
Agensi berita Xinhua memetik Perdana Menteri Belanda, Mark Rutte sebagai berkata, pakar berkenaan akan tiba di Kharkiv, bandar berhampiran dengan tapak nahas bagi membolehkan mereka menyertai antara 10 dan 15 orang pakar yang sudah pun berada di kawasan tragedi.
"Kami akan melakukan apa yang terdaya untuk pergi ke kawasan nahas MH17 bagi membolehkan kerja-kerja yang terhenti atas faktor keselamatan disambung semula.
"Dengan kehadiran lebih ramai pakar, kami akan lebih bersedia untuk menjalankan siasatan jika diberi kesempatan," jelasnya.
Rutte turut menegaskan bahawa beliau tidak mahu memberi sebarang harapan palsu bahawa pihaknya akan berada di kawasan nahas.
"Tidak ada sebarang jaminan akses untuk ke tapak kejadian. Tapi tanpa ragu-ragu kami boleh melakukan kerja dengan baik jika berada di tapak nahas," ujarnya.
Menurutnya, situasi keselamatan di kawasan nahas begitu'rapuh' dan boleh mengundang pelbagai kemungkinan.
Dalam kejadian pada 17 Julai lalu, sebuah pesawat komersial syarikat penerbangan Malaysia MAS, MH17 jatuh terhempas di selatan Ukraine dipercayai terkena bedilan peluru berpandu menyebabkan kesemua 289 orang di dalamnya terkorban.
Dua per tiga daripada penumpang pesawat berkenaan merupakan rakyat Belanda.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140914/lu_01/MH17-Belanda-hantar-pakar#ixzz3DG2Sxwkn
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment